Home About-us Privacy Policy Contact-us Services

Memaparkan catatan dengan label KOMSAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KOMSAS. Papar semua catatan

Isnin, 23 Januari 2017

Arbitrari H I D U P

By With Tiada ulasan:
Arbitrari
seperti juga bahasa
hidup juga begitu
kalau sendawa ketika makan di Malaysia dianggap tidak sopan
arab dan oriental menganggap ia satu komplimentari
kalau lambat 5 minit di Malaysia boleh dimaafkan
Jepun mengganggap ia satu dosa besar
kita punya pendapat masing - masing
tercetus dek kerana perbezaan demografik
alam sebagai guru semulajadi kita
membentuk pemikiran manusia
lain padang, lain belalang
lain jenis rumput di padang, lainlah jenis belalang yang ada
kan?
Nah
justeru , apa tujuan mengagongkan pendapat kau
jika kau tidak mahu hormat pandangan orang lain
silalah cari titik persamaan dalam garis panjang perbezaan
kerana kita terlahir berbeza antara sesama

Read More

Analisis Cerpen "Memori Seorang Tua" - Zahari Afandi

By With Tiada ulasan:
Berdasarkan analisis sintaksis yang telah dilakukan ke atas cerpen ini dapatlah dibuat rumusan secara kritis dan analitikal terhadap cerpen ini. Dalam cerpen ini, pelbagai jenis ayat telah digunakan untuk menyampaikan mesej, menerangkan latar tempat, masa dan masyarakat serta menimbulkan kesan emosi terhadap para pembaca. Kombinasi pelbagai jenis ayat ini penting bagi memastikan bahawa tujuan – tujuan tersebut tercapai.
            Jika dilihat dari aspek ragam ayat, ayat seruan dan ayat tanya banyak digunakan dalam plot klimaks dan penurunan. Hal ini kerana pada plot klimaks dan penurunan, banyak terdapat dialog yang mana Pak Itam dan watak – watak yang lain sibuk menguruskan majlis hari jadi Pak Itam dengan pelbagai gerai dan persembahan. Perbualan antara watak – watak pada plot akhir cerpen ini juga menunjukkan penggunaan ragam ayat seruan dan tanya yang banyak, lebih – lebih lagi pada plot yang mana Pak Itam sudah tiada lagi. Monolog oleh Pak Itam dan perbualan antara Pak Itam dengan Tuk Mat pada bahagian awal cerpen ini jelas ditunjukkan emosinya dengan penggunaan ragam ayat seruan dan tanya yang banyak.
            Ragam ayat penyata juga dapat dilihat dengan jelas banyaknya dalam cerpen ini. Ayat penyata digunakan untuk menerangkan latar tempat, latar masa dan latar masyarakat dalam cerpen ini. Gambaran situasi ketika kejadian dapat dilihat dengan jelas melalui ayat – ayat penyata yang digunakan dalam cerpen ini.
            Satu hal yang paling jelas dalam cerpen ini ialah penggunaan ayat terbitan yang banyak sekali. Penulis juga kerap menggunakan ayat majmuk dan ayat kompleks dalam menyampaikan penulisannya. Penggunaan ayat – ayat terbitan ini jua menjelaskan jalur pemikiran kompleks yang cuba diterapkan oleh penulis. Ayat – ayat kompleks ini bukan sahaja dapat menyampaikan maksud dan tujuan penulis, ayat ini juga dapat menjelaskan latar masa, latar masyarakat dan latar tempat dalam cerpen ini dengan komprehensif dan jelas.
            Dari aspek ayat tunggal, pola yang paling banyak dapat dilihat dalam cerpen ini ialah pola FN + FK iaitu frasa nama digandingkan dengan frasa kerja.  Dari aspek ayat terbitan pula, dapat dilihat dalam cerpen ini bahawa banyak ayat telah mengalami proses peluasan dan pengguguran. Hal ini kerana mode penulisan cerpen ini adalah lebih kepada situasi sebenar dan imbas kembali.
            Tamsilannya, penulisan cerpen ini menggunakan pelbagai jenis ragam ayat bagi menyampaikan mode dan memberi penegasan terhadap satu – satu isu. Ragam ayat yang paling dominan dapat dilihat ialah ragam ayat tanya dan ayat seruan. Jenis ayat yang digunakan juga adalah pelbagai. Namun yang paling dominan ialah jenis ayat terbitan yang terbit melalui pelbagai proses transformasi seperti pengguguran, penyusunan dan peluasan. Yang jelas di sini, tema patriotik telah dapat ditimbulkan kesannya oleh penulis melalui penggunaan ragam ayat dan jenis ayat yang pelbagai.

Read More

Konsep KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu

By With Tiada ulasan:
Komponen Kesusasteraan dalam Bahasa Melayu diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2000. KOMSAS dikenali sebagai suatu inovasi dalam dunia pendidikan Bahasa Melayu (Samat Buang, 2004). Di sekolah – sekolah menengah, KOMSAS dilaksanakan secara berperingkat mulai Mac, 2000 bagi pelajar Tingkatan 1 dan 4, tahun 2001 bagi Tingkatan 2 dan 5, dan tahun 2002 bagi Tingkatan 3 (Chew, 2009). Di sekolah rendah pula, program pembelajaran sastera telah dilaksanakan pada tahun 4 pada tahun 2005, Tahun 5 pada tahun 2006, dan Tahun 6 pada tahun 2007 secara rintis.
KOMSAS bukan diajar sebagai satu subjek dalam aliran perdana persekolahan. KOMSAS diajar sebagai satu bahagian dalam kurikulum bahasa Melayu murid tahun 4 sehingga pelajar tingkatan 5. Hal ini bermakna, kesemua murid dan pelajar yang mengikuti kurikulum Malaysia akan belajar mengenai KOMSAS. Namun begitu, teks KOMSAS yang dipilih diwujudkan secara berasingan bagi pelajar sekolah menengah manakala bagi murid sekolah rendah, teks diselitkan dalam buku teks bahasa Melayu KBSR dan KSSR.
Selain itu, pelajar tingkatan 4 dan 5 yang mengikuti aliran sastera akan mempelajari mata pelajaran Pendidikan Kesusasteraan Melayu yang mana mereka akan mendalami dengan lebih khusus lagi elemen sastera ini. Pada tahun 2001, komponen ini mula diuji dalam mata pelajaran bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Senarai karya komponen kesusasteraan Melayu dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 boleh dirujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/2000 bertarikh 23 Februari 2000. Senarai karya telah mengalami beberapa perubahan setelah dilakukan penyemakan.
Read More

Khamis, 16 Jun 2016

Kepentingan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu

By With Tiada ulasan:
KOMSAS merupakan satu bahagian pembelajaran dalam mata pelajaran bahasa Melayu yang diajarkan sebagai serampang dua mata kepada beberapa matlamat. Pusat Perkembangan Kurikulum (2003) menyatakan dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5 bahawa, “Melalui komponen KOMSAS, diharapkan minat membaca, keseronokan membaca, dan penghayatan terhadap bahan sastera dapat dipupuk”. Memandangkan pembelajaran bahasa Melayu menitikberatkan kepada kemahiran berbahasa serta aplikasinya dalam kehidupan, KOMSAS merupakan bahagian lain pembelajaran bahasa yang bukan sahaja mengetengahkan pembelajaran kemahiran berbahasa, malah memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran tersebut. Berdasarkan matlamat yang diutarakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (2003), KOMSAS juga merupakan satu platform kepada pelajar untuk mereka melakukan apresiasi sastera.
Selain hal itu, KOMSAS juga dijadikan sebagai satu instrumen perpaduan dalam kalangan pelajar yang pelbagai etnik. Biarpun terdapat pelajar yang bersekolah di institusi yang tidak multi etnik seperti Sekolah Swasta Cina dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Orang Asli dan Sekolah Kurang Murid (SKM) yang terdapat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, mereka masih boleh mempelajari, membaca dan menghayati kisah – kisah yang dari pelbagai latar masyarakat, tempat dan masa yang mencerminkan bangsa Malaysia. Hal ini disokong oleh Chew (2009) dalam kajiannya yang bertajuk Pendidikan Sastera Perpaduan menerusi KOMSAS Tingkatan 4: Pelaksanaan dan Kesannya. Chew menulis, “Dasar Pendidikan Kebangsaan di negara kita menitikberatkan perpaduan nasional memandangkan Malaysia terdiri daripada berbilang kaum. Sehubungan itu, Kesusasteraan Melayu telah dikenal pasti sebagai mekanisme yang berkesan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Oleh itu, KOMSAS telah diperkenal dan dilaksanakan dalam pengajaran Bahasa Melayu sejak tahun 2000”.
KOMSAS juga boleh digunakan sebagai satu pendekatan dalam meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar. Kemahiran berbahasa merujuk kepada kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis.  Sebagai contoh, Abdul Rasid, Shamsudin, & Norzila (2011) telah menjalankan kajian yang bertajuk Keberkesanan Cerpen dalam Mempertingkatkan Prestasi Penulisan Karangan Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid. Hasil kajian mendapati bahawa kaedah pengajaran penulisan karangan menggunakan teks KOMSAS terbukti lebih berkesan berbanding kaedah pengajaran konvensional terhadap prestasi penulisan karangan murid.
Terang Abdul Rasid et al (2011) lagi, “… penggunaan bahan sastera memang mempunyai peranan yang positif dalam meningkatkan prestasi penulisan karangan keseluruhan dan aspek pengembangan isi dalam kalangan murid. Tegasnya, penggunaan bahan sastera seperti cerpen itu sendiri telah membezakan corak penulisan antara murid kumpulan eksperimen berbanding murid kumpulan kawalan”.
Kaedah ini disokong oleh Rozaiman (2007) yang berpendapat bahawa penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa ibarat lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan kerana kedua – duanya saling berkaitan.  Justeru itu, KOMSAS dapat dilihat sebagai satu kaedah yang berkesan dalam membantu pelajar menguasai kemahiran berbahasa yang dinyatakan sebagai salah satu objektif dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu.
Selain hal itu, KOMSAS juga boleh dijadikan wadah dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar. Menurut Rajendran (2000), “Kesusasteraan menawarkan peluang untuk membimbing pelajar meramal, merumus, menganalisis, membuat inferens, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah yang merupakan kemahiran berfikir aras tinggi”. Memandangkan KOMSAS merupakan salah satu bahagian dalam pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar, ia dianggap sebagai satu medium terbaik untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar.
Pembelajaran dan pengajaran menggunakan KOMSAS merupakan satu proses memandu pelajar untuk berhibur, mentafsir dan menilai kehidupan dan fenomenanya (Rajendran, 2000). Karya sastera yang baik dan indah dapat meluaskan pandangan dan tinjauan di samping membina dan menyuburkan ‘rasa ingin tahu’ terhadap sesuatu fenomena (Mohd. Kassim Ismail, 1994). Justeru itu, KOMSAS dapat dilihat sebagai satu medium yang digunakan untuk meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi pelajar dengan aplikasi kemahiran berbahasa seperti kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
Read More

Jumaat, 21 Jun 2013

Genre - genre dalam KOMSAS dan aplikasinya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu

By With Tiada ulasan:
Dalam KOMSAS, terdapat pelbagai genre sastera yang diterapkan secara menyeluruh pada semua peringkat pembelajaran bahasa Melayu. Prosa, drama dan puisi merupakan antara bentuk sastera Melayu yang diterapkan dalam KOMSAS. Prosa terdiri daripada prosa tradisional dan prosa moden. Prosa tradisional merangkumi genre sastera sejarah, sastera epik, sastera hikayat, dan sastera rakyat. Prosa moden pula terdiri daripada genre novel dan cerpen (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003).
Puisi pula dapat dibahagikan kepada dua iaitu puisi tradisional dan puisi moden. Puisi tradisional terdiri daripada syair, gurindam, seloka dan pantun. Manakala puisi moden terdiri daripada sajak. Drama merupakan hasil karya prosa yang ditulis dalam bentuk skrip dan kebiasaannya untuk dipentaskan (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003). Dalam pembelajaran KOMSAS, genre drama ini dikaji berasingan daripada prosa kerana drama mempunyai ciri yang agak berbeza dari segi penulisan bentuk skrip dan teknik penulisan. Hal ini kerana drama mempunyai elemen prolog, babak, adegan, episod dan epilog.
Genre – genre yang pelbagai ini mempunyai peranan masing – masing dalam membantu meningkatkan pencapaian murid dan pelajar dalam mata pelajaran bahasa Melayu.  Genre prosa misalnya sama ada prosa moden atau prosa tradisional memberi peluang kepada murid dan pelajar mempertingkatkan kemahiran menulis mereka. Melalui pembacaan bahan – bahan sastera, gaya penulisan mereka akan menjadi lebih matang. Di samping itu pembacaan bahan – bahan karya ini juga dapat menambah perbendaharaan kata murid dan pelajar yang seterusnya boleh diaplikasikan dalam penulisan mereka.
Selain meningkatkan kemahiran menulis, komponen KOMSAS juga memberi peluang kepada murid dan pelajar untuk menghargai bahagian estetik bahasa Melayu melalui kemahiran bertutur dan membaca. Genre drama misalnya memberi peluang kepada pelajar untuk melakonkan watak – watak dalam drama tersebut sekali gus meningkatkan kemahiran bertutur mereka. Genre novel dan cerpen pula dapat meningkat kemahiran membaca pelajar bila mana mereka perlu untuk meneruskan pembacaan mereka kerana terpengaruh dengan jalan cerita yang menarik dan gaya penulisan yang sesuai dengan jiwa mereka. Justeru itu, pemilihan teks KOMSAS perlulah dilakukan secara terperinci agar matlamat ini dapat dicapai.
Prosa tradisional pula banyak mengetengahkan karya – karya klasik yang menggunakan latar yang berbeza. Genre ini juga menawarkan jenis – jenis seperti sastera sejarah, sastera epik, sastera hikayat, dan sastera rakyat. Melalui teks – teks ini pelajar akan dapat mendalami dan menyelami laras bahasa klasik di samping mempelajari tentang sejarah, demografi dan antropologi masyarakat dahulu kala yang juga merupakan nenek moyang mereka.
Read More

Jumaat, 27 Januari 2012

Strategi pengajaran generatif dalam menggunakan genre KOMSAS dalam pendidikan Bahasa Melayu

By With Tiada ulasan:
Terdapat pelbagai strategi pengajaran yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran genre KOMSAS dalam bahasa Melayu. Menurut Noriati, Ying & Sharifah Fakhriah (2009),  suatu kemahiran merancang dan mengurus kaedah dan teknik pengajaran untuk mencapai hasil pembelajaran. Terdapat pelbagai strategi pengajaran yang diamalkan dalam sistem pendidikan pada masa kini. Antaranya ialah strategi pengajaran direktif, strategi pengajaran mediatif, strategi pengajaran generatif, strategi pengajaran melalui pemerhatian, strategi pengajaran kontekstual, strategi pengajaran kajian masa depan, dan strategi pengajaran metakognitif.
Strategi pengajaran generatif merupakan satu pendekatan yang dapat membantu pelajar mereka cipta pengetahuan dan membentuk cara baharu serta kreatif untuk menyelesaikan masalah. Pendekatan ini bertujuan untuk merangsang imaginasi pelajar dengan penggunaan metafora. Pengajaran generative boleh digunakan untuk penulisan ekspresif serta membentuk penyelesaian masalah bukan rutin dan inkuiri. Dalam menggunakan genre KOMSAS, genre puisi moden iaitu sajak amat sesuai diajar menggunakan strategi ini. Guru akan membentangkan dua sajak yang mempunyai tema yang hampir sama. Guru akan membimbing murid memahami kedua – dua sajak tersebut dan seterusnya mengemukakan analogi bagi setiap sajak. Banding beza kedua – dua analogi akan dilakukan bagi mengesan persamaan dan perbezaan kedua – dua sajak. Dengan itu, murid akan dapat memahami maksud tersirat kedua – dua sajak dengan lebih mendalam.
Read More
Flag Counter
Home About-us Privacy Policy Contact-us Services
Copyright © 2014 GobokGuru | All Rights Reserved. Design By Blogger Templates | Free Blogger Templates.