Home About-us Privacy Policy Contact-us Services

Khamis, 16 Jun 2016

Kepentingan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu

ad+1

KOMSAS merupakan satu bahagian pembelajaran dalam mata pelajaran bahasa Melayu yang diajarkan sebagai serampang dua mata kepada beberapa matlamat. Pusat Perkembangan Kurikulum (2003) menyatakan dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5 bahawa, “Melalui komponen KOMSAS, diharapkan minat membaca, keseronokan membaca, dan penghayatan terhadap bahan sastera dapat dipupuk”. Memandangkan pembelajaran bahasa Melayu menitikberatkan kepada kemahiran berbahasa serta aplikasinya dalam kehidupan, KOMSAS merupakan bahagian lain pembelajaran bahasa yang bukan sahaja mengetengahkan pembelajaran kemahiran berbahasa, malah memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran tersebut. Berdasarkan matlamat yang diutarakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (2003), KOMSAS juga merupakan satu platform kepada pelajar untuk mereka melakukan apresiasi sastera.
Selain hal itu, KOMSAS juga dijadikan sebagai satu instrumen perpaduan dalam kalangan pelajar yang pelbagai etnik. Biarpun terdapat pelajar yang bersekolah di institusi yang tidak multi etnik seperti Sekolah Swasta Cina dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Orang Asli dan Sekolah Kurang Murid (SKM) yang terdapat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, mereka masih boleh mempelajari, membaca dan menghayati kisah – kisah yang dari pelbagai latar masyarakat, tempat dan masa yang mencerminkan bangsa Malaysia. Hal ini disokong oleh Chew (2009) dalam kajiannya yang bertajuk Pendidikan Sastera Perpaduan menerusi KOMSAS Tingkatan 4: Pelaksanaan dan Kesannya. Chew menulis, “Dasar Pendidikan Kebangsaan di negara kita menitikberatkan perpaduan nasional memandangkan Malaysia terdiri daripada berbilang kaum. Sehubungan itu, Kesusasteraan Melayu telah dikenal pasti sebagai mekanisme yang berkesan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Oleh itu, KOMSAS telah diperkenal dan dilaksanakan dalam pengajaran Bahasa Melayu sejak tahun 2000”.
KOMSAS juga boleh digunakan sebagai satu pendekatan dalam meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar. Kemahiran berbahasa merujuk kepada kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis.  Sebagai contoh, Abdul Rasid, Shamsudin, & Norzila (2011) telah menjalankan kajian yang bertajuk Keberkesanan Cerpen dalam Mempertingkatkan Prestasi Penulisan Karangan Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid. Hasil kajian mendapati bahawa kaedah pengajaran penulisan karangan menggunakan teks KOMSAS terbukti lebih berkesan berbanding kaedah pengajaran konvensional terhadap prestasi penulisan karangan murid.
Terang Abdul Rasid et al (2011) lagi, “… penggunaan bahan sastera memang mempunyai peranan yang positif dalam meningkatkan prestasi penulisan karangan keseluruhan dan aspek pengembangan isi dalam kalangan murid. Tegasnya, penggunaan bahan sastera seperti cerpen itu sendiri telah membezakan corak penulisan antara murid kumpulan eksperimen berbanding murid kumpulan kawalan”.
Kaedah ini disokong oleh Rozaiman (2007) yang berpendapat bahawa penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa ibarat lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan kerana kedua – duanya saling berkaitan.  Justeru itu, KOMSAS dapat dilihat sebagai satu kaedah yang berkesan dalam membantu pelajar menguasai kemahiran berbahasa yang dinyatakan sebagai salah satu objektif dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu.
Selain hal itu, KOMSAS juga boleh dijadikan wadah dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar. Menurut Rajendran (2000), “Kesusasteraan menawarkan peluang untuk membimbing pelajar meramal, merumus, menganalisis, membuat inferens, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah yang merupakan kemahiran berfikir aras tinggi”. Memandangkan KOMSAS merupakan salah satu bahagian dalam pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar, ia dianggap sebagai satu medium terbaik untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar.
Pembelajaran dan pengajaran menggunakan KOMSAS merupakan satu proses memandu pelajar untuk berhibur, mentafsir dan menilai kehidupan dan fenomenanya (Rajendran, 2000). Karya sastera yang baik dan indah dapat meluaskan pandangan dan tinjauan di samping membina dan menyuburkan ‘rasa ingin tahu’ terhadap sesuatu fenomena (Mohd. Kassim Ismail, 1994). Justeru itu, KOMSAS dapat dilihat sebagai satu medium yang digunakan untuk meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi pelajar dengan aplikasi kemahiran berbahasa seperti kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

0 comments:

Catat Ulasan

Flag Counter
Home About-us Privacy Policy Contact-us Services
Copyright © 2014 GobokGuru | All Rights Reserved. Design By Blogger Templates | Free Blogger Templates.