Home About-us Privacy Policy Contact-us Services

Isnin, 23 Januari 2017

Analisis Cerpen "Memori Seorang Tua" - Zahari Afandi

ad+1

Berdasarkan analisis sintaksis yang telah dilakukan ke atas cerpen ini dapatlah dibuat rumusan secara kritis dan analitikal terhadap cerpen ini. Dalam cerpen ini, pelbagai jenis ayat telah digunakan untuk menyampaikan mesej, menerangkan latar tempat, masa dan masyarakat serta menimbulkan kesan emosi terhadap para pembaca. Kombinasi pelbagai jenis ayat ini penting bagi memastikan bahawa tujuan – tujuan tersebut tercapai.
            Jika dilihat dari aspek ragam ayat, ayat seruan dan ayat tanya banyak digunakan dalam plot klimaks dan penurunan. Hal ini kerana pada plot klimaks dan penurunan, banyak terdapat dialog yang mana Pak Itam dan watak – watak yang lain sibuk menguruskan majlis hari jadi Pak Itam dengan pelbagai gerai dan persembahan. Perbualan antara watak – watak pada plot akhir cerpen ini juga menunjukkan penggunaan ragam ayat seruan dan tanya yang banyak, lebih – lebih lagi pada plot yang mana Pak Itam sudah tiada lagi. Monolog oleh Pak Itam dan perbualan antara Pak Itam dengan Tuk Mat pada bahagian awal cerpen ini jelas ditunjukkan emosinya dengan penggunaan ragam ayat seruan dan tanya yang banyak.
            Ragam ayat penyata juga dapat dilihat dengan jelas banyaknya dalam cerpen ini. Ayat penyata digunakan untuk menerangkan latar tempat, latar masa dan latar masyarakat dalam cerpen ini. Gambaran situasi ketika kejadian dapat dilihat dengan jelas melalui ayat – ayat penyata yang digunakan dalam cerpen ini.
            Satu hal yang paling jelas dalam cerpen ini ialah penggunaan ayat terbitan yang banyak sekali. Penulis juga kerap menggunakan ayat majmuk dan ayat kompleks dalam menyampaikan penulisannya. Penggunaan ayat – ayat terbitan ini jua menjelaskan jalur pemikiran kompleks yang cuba diterapkan oleh penulis. Ayat – ayat kompleks ini bukan sahaja dapat menyampaikan maksud dan tujuan penulis, ayat ini juga dapat menjelaskan latar masa, latar masyarakat dan latar tempat dalam cerpen ini dengan komprehensif dan jelas.
            Dari aspek ayat tunggal, pola yang paling banyak dapat dilihat dalam cerpen ini ialah pola FN + FK iaitu frasa nama digandingkan dengan frasa kerja.  Dari aspek ayat terbitan pula, dapat dilihat dalam cerpen ini bahawa banyak ayat telah mengalami proses peluasan dan pengguguran. Hal ini kerana mode penulisan cerpen ini adalah lebih kepada situasi sebenar dan imbas kembali.
            Tamsilannya, penulisan cerpen ini menggunakan pelbagai jenis ragam ayat bagi menyampaikan mode dan memberi penegasan terhadap satu – satu isu. Ragam ayat yang paling dominan dapat dilihat ialah ragam ayat tanya dan ayat seruan. Jenis ayat yang digunakan juga adalah pelbagai. Namun yang paling dominan ialah jenis ayat terbitan yang terbit melalui pelbagai proses transformasi seperti pengguguran, penyusunan dan peluasan. Yang jelas di sini, tema patriotik telah dapat ditimbulkan kesannya oleh penulis melalui penggunaan ragam ayat dan jenis ayat yang pelbagai.

0 comments:

Catat Ulasan

Flag Counter
Home About-us Privacy Policy Contact-us Services
Copyright © 2014 GobokGuru | All Rights Reserved. Design By Blogger Templates | Free Blogger Templates.