Ilmu linguistik merupakan
tulang belakang kepada semua bahasa di dunia; termasuklah bahasa Melayu. Secara
khususnya semua pendidik yang mengajar ilmu bahasa Melayu di sekolah – sekolah
telah dibekalkan dengan ilmu linguistik di samping ilmu – ilmu lain. Seperti
yang diketahui oleh ramai mahasiswa dan mahasiswi, ilmu dan teori yang
diperolehi di menara gading sememangnya amat berbeza dengan realiti hidup
sebenar. Namun begitu, hal ini seharusnya tidak menghalang mereka untuk
meneruskan kerjaya mereka. Mereka perlu pandai menyesuaikan diri dan
mengaplikasikan ilmu dan teori yang telah mereka perolehi dengan situasi
sebenar semasa.
Seorang guru terutamanya guru bahasa
Melayu memang telah dilengkapkan dengan pelbagai ilmu berkaitan bidang bahasa
yang akan dan perlu digunakan oleh mereka ketika di sekolah nanti. Namun,
apabila mereka sudah di tempatkan di sekolah dan ingin memulakan tugas mereka,
mereka akan dapati bahawa banyak situasi dan keadaan yang tidak pernah mereka
temukan dalam buku ketika belajar di menara gading dahulu. Mungkin mereka
ditempatkan di sekolah Orang Asli yang mana murid – murid di sana tidak fasih
berbahasa Melayu, di sekolah vernacular yang mana murid – muridnya tidak
langsung pernah didedahkan dengan bahasa Melayu atau pun di sekolah – sekolah
pedalaman yang mana muridnya bertutur dalam loghat daerah masing – masing
seperti di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Sarawak. Situasi seperti ini tidak diterangkan
dalam teori – teori pengajaran bahasa melayu namun guru perlu menyesuaikan
teori – teori sedia ada untuk menyelesaikan masalah ini.
Hal dalam contoh di atas telah
disokong oleh Naom Chomsky dalam Haliza & Samuel (2009) yang menyatakan
bahawa, “kanak – kanak bukan hanya
sekadar meniru bahasa – bahasa yang digunakan di sekitar mereka tetapi mereka
membuat deduksi secara tidak sedar tentang peraturan – peraturan bahasa yang
didengar”. Jelas di sini bahawa murid di sesuatu sekolah telah dilengkapkan
dengan kemahiran berbahasa yang mereka pelajari di sekitar mereka. Mereka juga
mendeduksi sistem bahasa tersebut. Sebagai contoh, sebuah sekolah yang terletak
di Kubang Golok, Kelantan, murid – murid tahun satu di situ tidak masih
langsung untuk menuturkan bahasa Melayu yang standard kerana mereka membesar
dalam lingkungan masyarakat yang menggunakan dialek Kelantan untuk
berkomunikasi. Justeru itu, mereka akan meniru bahasa dan peraturan – peraturan
bahasa tersebut untuk berkomunikasi bagi memenuhi keperluan diri mereka.
Namun begitu dalam konteks
pendidikan, seorang guru bahasa Melayu perlu pandai dan bijak menyesuaikan
kaedah dan teknik yang akan dan sedang digunakan untuk mengajar murid tentang
bahasa Melayu. Hal ini kerana, kurikulum bahasa Melayu yang telah digubal oleh
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia telah didatangkan
secara pakej iaitu bahasa serta peraturan – peraturan bahasa. Secara ilmiahnya,
bahasa dan peraturan bahasa ini didefinisikan sebagai penggunaan bahasa,
kemahiran bahasa dan sistem bahasa (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003). Bahasa
dan peraturan ini secara amnya selari dengan amalan harian bahasa Melayu di
sesetengah tempat di Malaysia namun bagi sesetengah tempat yang lain, ianya
adalah berbeza. Sebagai contoh, di sebuah pekan
kecil di Kemaman, murid – murid di situ rata – ratanya menggunakan
dialek Terengganu untuk bertutur dan berkomunikasi dengan masyarakat
sekeliling. Dialek ini mempunyai sistem bahasa yang sama dengan bahasa Melayu
standard namun kosa kata atau perbendaharaan kata yang dipunyai keduanya adalah
berbeza.
Justeru itu, seorang guru bahasa
Melayu seharusnya mempunyai ilmu linguistik bahasa Melayu yang komprehensif dan
lengkap agar dapat memenuhi keperluan pasaran yang menuntut kepada semua murid
dan pelajar di Malaysia untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu selaras
dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996. Menurut
Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (2002), linguistik bermaksud ilmu bahasa. Kamus
Dewan Edisi Keempat pula mendefinisikan linguistik sebagai kajian saintifik
tentang bahasa. Struktur dan system lebih tepat digunakan dalam linguistik
adalah penerapan semua elemen bahasa iaitu fonetik, morfologi dan sintaksis.
David Crystal (1973) dalam Din Senu
(2013) menjelaskan linguistik sebagai kajian bahasa secara saintifik. Hal ini
bermakna bahawa bahasa – bahasa yang dikaji mesti dilihat sebagai satu disiplin
ilmu yang tersusun serta mempunyai organisasi tersendiri. Selain hal itu,
saintifik juga merujuk kepada sesuatu ilmu yang mempunyai cirri kesahan dan
kebolehpercayaan dari segi mutu dan kesahihan fakta. Pandangan David ini
disokong oleh John Lyons (1968:89). Menurut beliau, linguistik adalah “The scientific study of language”. Verhaar (1993) pula menjelaskan linguistik
sebagai satu kajian ilmu bahasa. Hal ini merujuk kepada bagaimana suatu kajian
bahasa itu dilaksanakan. Berdasarkan pandangan tersebut, kajian ilmu bahasa
mencakupi bidang ilmu yang sangat luas.
Ianya merangkumi bidang linguistik
secara khusus; iaitu linguistik sinkronik, linguistic diakronik, linguistik
deskriptif dan linguistic preskriptif. Linguistic sinkronik merujuk kepada
kajian pada suatu bahasa dan masa tertentu. Linguistik diakronik pula merujuk
kepada kajian yang dibuat mengikut perkembangan masa dan perbandingan bahasa.
Linguistik deskriptif pula menumpu kepada huraian beberapa kemungkinan yang ada
di dalam sesuatu bahasa, tanpa penentuan betul dan salah. Linguistik
preskriptif membentuk norma atau menentukan yang mana betul dan yang mana salah
di dalam pemerian bahasa. Bidang linguistik ini juga termasuklah linguistic
jati yang member huraian atau deskripsi tenatng sesuatu bahasa tanpa
perkaitannya dengan bidang lain dan linguistic terapan, iaitu mengkaji segala
bidang linguisitk yang dikaitkan dengan bidang lain (Wikipedia, 2013).
Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa
Melayu KBSM (2003), komponen sistem bahasa berfokus pada pengajaran dan
pembelajaran yang tertumpu kepada tatabahasa, ejaan, sebutan dan intonasi, kosa
kata dan peribahasa. Bahagian tatabahasa pula terbahagi kepada morfologi dan
sintaksis. Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk
kata, dan golongan kata manakala sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang
mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat (Pusat Perkembangan
Kurikulum, 2003).
Jelas di sini, pihak penggubal
kurikulum telah menyediakan satu konstituen ilmu bahasa Melayu yang amat
lengkap dan telah pun didokumenkan untuk kegunaan guru – guru seperti Sukatan
Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran bagi KBSM dan Standard Kurikulum bagi
KSSR. Namun, seperti yang telah dibincangkan di atas bahawa, di sesetengah
kawasan di Malaysia murid mempunyai pengetahuan yang bahasa yang berbeza dan
ada yang sama dengan kurikulum bahasa Melayu sedia ada, justeru itu, guru perlu
mengaplikasikan ilmu linguistik yang dipunyai oleh mereka mengikut kesesuaian
dan arus perdana semasa.
Namun begitu, persoalan seterusnya
yang timbul di sini ialah adakah seorang guru bahasa Melayu itu memerlukan
pengetahuan berkenaan linguistik untuk mengajar subjek ini? Terdapat tujuh
billion manusia pada hari ini di seluruh dunia dan 27 juta daripadanya terdapat
di Malaysia (Jabatan Perangkaan Negara, 2006) dan daripada jumlah tersebut berpuluh
ribu individu merupakan seorang guru. Dalam jumlah guru tersebut, satu per
sepuluh daripadanya merupakan guru bahasa Melayu bagi sekolah rendah dan
menengah. Makanya, masing – masing sudah tentu mempunyai pandangan masing –
masing. Penulis telah menemu bual dua orang guru dari empat dua buah sekolah
berbeza untuk menanyakan pendapat mengenai persoalan ini. Mereka dengan
berbesar hati telah memberikan curhat dan pendapat mereka mengenai persoalan
ini.
Guru X yang sedang mengajar di
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pulai, Johor Bahru telah memberikan pandangannya.
Menurut beliau, “Hal ini tergantung
kepada sekolah apa dan di mana seorang guru bahasa Melayu itu mengajar. Bagi
saya, jika di sekolah rendah, ilmu linguistik tidak banyak diguna pakai kerana linguistik
memerlukan pemahaman mengenai bahasa. Namun jika di sekolah menengah, ilmu
linguistik itu amat diperlukan untuk membantu para pelajar menguasai bahasa
Melayu”. Pada pendapat Guru X, ilmu linguistik memainkan peranan yang amat
besar jika guru itu mengajar di sekolah menengah namun tidak jika di sekolah rendah.
Hal ini kerana di sekolah rendah, pendekatan yang digunakan dalam pengajaran
ilmu linguistik seperti sistem bahasa ialah pendekatan tematik yang bersifat
induktif ataupun deduktif. Namun begitu, jika dirujuk kepada sukatan kurikulum,
bahasa Melayu sekolah menengah juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu
pendekatan tematik. Menurut Guru X, pengaplikasian pendekatan ini bergantung
kepada guru berkenaan sama ada mahu mengaplikasikan pendekatan tematik tersebut
atau tidak mengikut keperluan murid dan pelajar.
Menurut Noriati et al (2009),
pendekatan tematik bermaksud pengajaran menggunakan tema yang disampaikan
melalui konsep atau idea yang besar . Satu – satu tema itu dipecahkan kepada
beberapa komponen kecil. Pendekatan secara tema akan membolehkan pelajar
menganalisis, membuat generalisasi dan mengaplikasikan penggabungan. Penggabungan pelbagai idea yang berkaitan
kepada satu konsep yang lebih meluas atau tema membolehkan pelajar menyatukan
pelbagai fakta. Secara keseluruhannya, pendekatan tematik akan memberikan
peluang kepada pelajar mengalami pelbagai pengalaman dalam situasi yang
berlainan.
Menurut Guru X, pada kebiasaannya
guru – guru bahasa Melayu di sekolah rendah kurang mengaplikasikan pengetahuan
linguistik mereka kerana model sosial, model pengajaran behaviorisme dan model
personal melalui strategi pengajaran mediatif, kontekstual dan melalui
pemerhatian lebih diguna pakai dalam kalangan murid – murid. Hal ini disokong
oleh Noriati et. al (2009) kerana model - model ini lebih menarik untuk
diaplikasikan pada murid – murid yang rata – rata usianya dalam lingkungan 7
hingga 12 tahun. Menurut Haliza &
Samuel (2009), pada peringkat lingkungan usia ini, perkembangan kemahiran
berbahasa murid – murid adalah lebih tertumpu kepada kemahiran menulis dan
membaca dengan menggunakan gaya bahasa yang betul. Ini bermaksud, pada
lingkungan usia ini, murid – murid lebih gemar untuk mempelajari kemahiran –
kemahiran berbahasa seperti menulis dan membaca berbanding sistem bahasa yang
dilihat agak kompleks dan terlalu sukar. Justeru, guru – guru bahasa Melayu
kurang mengaplikasikan pengetahuan linguistik mereka ketika di dalam kelas.
Namun begitu, kurikulum yang telah
dirangka untuk sekolah rendah sama ada KBSR atau KSSR mengandungi pengajaran
sistem bahasa yang terarah kepada tatabahasa. Makanya, guru – guru bahasa
Melayu akan cuba menggunakan pendekatan deduktif kepada murid – murid sekolah
rendah. Mereka akan menggunakan gabungan pendekatan tematik dengan pendekatan
deduktif. Huraiannya, para guru akan menggunakan tema – tema yang telah disusun
dan disediakan dalam kurikulum untuk menyampaikan isi mengenai tatabahasa.
Sebagai contoh, seorang guru ingin mengajar tentang kata ganda. Jika guru
tersebut terus menerangkan mengenai kata ganda pada murid – murid dan
memberikan contoh, sudah pasti murid – murid akan merasakan bahawa subjek ini
sukar. Justeru, melalui gabungan pendekatan tematik dan deduktif, guru tersebut
akan menayangkan sebuah video dan setiap murid diberikan skrip berkenaan video
tersebut. Skrip tersebut perlulah menarik dilengkapi dengan gambar – gambar.
Guru akan meminta wakil murid untuk melakon semula adegan dalam video tersebut
dengan bantuan skrip. Kemudian, guru akan meminta murid mengenal pasti
perkataan yang mempunyai tanda sempang ( - ). Akhirnya, guru menerangkan
tentang perkataan yang mempunyai tanda sempang tersebut sebagai kata ganda dan
menerangkan dengan contoh – contoh dalam video mengenai kata ganda. Dengan
penggunaan video dan skrip, proses pembelajaran bukan sahaja menarik malah
murid telah mempelajari mengenai tatabahasa dan guru sudah pun mengaplikasikan
pengetahuan linguistiknya.
Menurut Guru X, hal yang berbeza
berlaku di sekolah menengah yang mana pendekatan tematik ini kurang diguna
pakai. Para pelajar akan cepat berasa bosan dan mereka akan merasakan bahawa
pendekatan yang digunakan oleh guru bahasa Melayu tersebut sebagai sangat
kebudak-budakkan atau kids oriented.
Pelajar sekolah menengah lebih cenderung kepada pendekatan induktif yang mana
guru bahasa Melayu akan menerangkan terlebih dahulu mengenai sesuatu hukum
tatabahasa sebelum memberikan contoh – contoh yang berkaitan.
Pandangan kedua telah ditemukan
daripada seorang guru yang sedang mengajar di SK Seri Bintang Utara, Kuala
Lumpur. Guru Y ini merupakan seorang guru bahasa Melayu yang mengajar tahun 5. Penulis
telah menemu bual Guru Y dan menanyakan pendapat dan komentar beliau mengenai
isu ini. Menurut Guru Y, “Rasanya
membantu jugalah sebab linguistik merupakan satu cabang utama untuk mengajar
P&P. Daripada linguistiklah baru pecahan bahasa Melayu dikembangkan”. Guru Y berpegang teguh kepada prinsip bahawa
proses P&P bahasa Melayu hanya akan dapat dijalankan jika guru mempunyai
pengetahuan mengenai linguistik. Linguistik merupakan tiang seri kepada bahasa
Melayu.
Menurut Guru Y, setiap rancangan
mengajar yang telah dirangka oleh guru seharusnya mempunyai unsur – unsur
linguistik yang jelas. Hal ini kerana linguistiklah yang mendasari ilmu
pembelajaran berkenaan bahasa Melayu. Justeru itu, setiap kali murid dan
pelajar menghadiri kelas bahasa Melayu, mereka akan mempelajari ilmu linguistik
bahasa Melayu secara komprehensif. Sebagai contoh, Guru Y mengatakan bahawa
guru bahasa Melayu perlu menerapkan pembelajaran pertuturan bahasa Melayu dan
nahu sebagai perlu kepada setiap murid dan pelajar. Hal ini disokong oleh ramai
dalam kalangan ahli linguistik. Kebanyakan ahli
linguistic seperti Ferdinand de Sasussure, Dell Hymes, George Lakoff, Leonard
Talmy dan Ronald Langacker mengandaikan bahawa bahasa pertuturan adalah
lebih asas dan oleh itu, adalah lebih penting daripada bahasa tulisan.
Alasan-alasan
untuk sudut pandangan ini termasuk yang pertama pertuturan nampaknya merupakan
sejagat manusia, manakala terdapat banyak budaya dan
komuniti pertuturan yang tidak mempunyai sebarang komunikasi tulisan. Keduanya
manusia belajar untuk bertutur dan memproses bahasa-bahasa pertuturan dengan
lebih mudah dan lebih awal, berbanding dengan penulisan. Ketiganya sebilangan ahli sains kognitif memperdebatkan
bahawa otak mempunyai
"modul bahasa" yang semula jadi,
dengan pengetahuan dianggap datangnya daripada mengkaji pertuturan lebih
daripada mengkaji tulisan, khususnya kerana bahasa dalam bentuk pertuturan
dianggap merupakan penyesuaian evolusi, manakala penulisan merupakan rekaan
yang lebih terkini. Sudah tentu, ahli-ahli linguistik bersetuju bahawa kajian
terhadap bahasa tulisan adalah berfaedah dan bernilai. Bagi penyelidikan
linguistik yang menggunakan kaedah-kaedah linguistik korpus dan linguistik pengiraan, bahasa
tulisan seringnya adalah lebih sesuai untuk memproses jumlah data linguistik
yang besar. Korpus besar untuk bahasa pertuturan adalah susah untuk dicipta dan
dicari, dan biasanya ditranskripsikan dan
ditulis.Walau bagaimanapun, kajian tentang sistem-sistem tulisan pada
dirinya telah dianggap sebagai satu cabang linguistik tersendiri.
Shaiful Bahri Selamat (2012) pula
menjelaskan bahawa penguasaan dan pengetahuan nahu serta kemahiran berbahasa
amat berguna untuk mengukuhkan pengetahuan pengguna bahasa tentang sususan ayat
dan fungsi – fungsi perkataan. Dengan hal yang demikian, nahu boleh menjadi
pedoman dalam perubahan besar kepada dunia linguistik Melayu dan perkembangan
pendidikan negara.
Berdasarkan kepada pendapat kedua –
dua guru yang telah ditemu bual itu tadi, dapat disimpulkan bahawa pengetahuan
linguistik yang dipunyai oleh seorang guru bahasa Melayu amat berguna dan
membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Hal yang
mewujudkan kepada perbezaan pendapat mereka ialah lokaliti dan masa serta
keperluan murid. Huraiannya, ilmu linguistik itu amat penting dan perlu
diajarkan kepada murid dan pelajar namun ianya perlu mengikut keperluan murid
dan pelajar. Sebagai contoh, jika murid sebuah kelas tahun 5 dari sebuah
sekolah vernakular cina masih tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu,
kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu lebih wajib diajar berbanding ilmu
tatabahasa kerana mereka masih belum mampu untuk menuturkan bahasa Melayu
dengan lancar. Jika mereka sudah lancar bertutur, maka barulah diajarkan kepada
mereka ilmu berkenaan tatabahasa.
0 comments:
Catat Ulasan