Home About-us Privacy Policy Contact-us Services

Selasa, 16 Oktober 2012

Teori Behaviorisme

ad+1

MURID DAN ALAM BELAJAR

TEORI BEHAVIORISME

Di dalam buku Murid dan Alam Belajar yang saya gunakan sebagai rujukan saya pada semester ini, saya mempelajari banyak perkara baru mengenai murid dan alam belajar. Terutama sekali pada bab tiga iaitu teori behavioris yang dipelopori oleh empat orang tokoh ilmuan yang terkenal iaitu Ivan Pavlov, J.B Watson, E.L Thorndike, dan B.F Skinner. Kebanyakkan teori pembelajaran mereka adalah dihasilkan daripada pemerhatian dan ujian ke atas haiwan seperti anjing, tikus, kucing dan burung dalam keadaan bilik makmal. Ujian mereka ditumpukan kepada tingkah laku haiwan-haiwan tersebut. Menurut mereka, tingkah laku pelajar boleh diperhatikan, dikawal dan diramal. Di dalam topik ini, terdapat dua pecahan yang telah dibahagikan mengikut pendapat tokoh-tokoh di atas iaitu teori pelaziman operan dan juga teori pelaziman klasik. Kedua-dua pecahan ini mempunyai pernyataan sendiri tentang pendapat masing-masing dalam bagaimana cara untuk menangani atau menyelesaikan masalah.  Oleh itu, marilah kita memulakan penerangan dan kaitan yang boleh kita dapati di sekolah berkenaan teori-teori yang saya pelajari ini.

Pertamanya ialah berkenaan teori pelaziman klasik Ivan Pavlov. Setelah saya membentangkan tajuk ini kepada rakan-rakan di dalam kelas, saya dapati bahawa teori ini banyak berpandukan kepada tiga jenis ransangan iaitu ransangan neutral, rancangan semulajadi dan rancangan terlazim. Malah pelaziman klasik itu sendiri berupa satu jenis pembelajaran apabila organisma dapat mengaitkan ransangan neutral dengan ransangan semulajadi. Hasil bagi gabungan dua ransangan tersebut dan berulang secara serupa akan menjadi ransangan terlazim. Bagi gerak balas pula, gerak balas semulajadi adalah gerak balas yang  terhasil daripada pantulan atau refleksif dan manakala gerak balas terlazim pula ialah gerak balas yang berlaku hasil daripada perkaitan ransangan neutral dan semulajadi.

Di dalam kajian-kajian pelaziman sepanjang tempoh masa selama hampir 30 tahun, Pavlov mengenal pasti fenomena-fenomena tingkah laku pelaziman. Di antaranya ialah fenomena generalisasi yang bermaksud rangsangan yang sama akan menghasilkan tindak balas yang sama. Kedua ialah fenomena diskriminasi yang mana diskriminasi berlaku apabila individu bertindak balas terhadap sesuatu rangsangan yang tertentu sahaja dan tidak ada rangsangan yang lain. Ketiga ialah fenomena penghapusan iaitu berlaku apabila rangsangan terlazim yang tidak disertai dengan rangsangan tidak terlazim. Kesannya, gerak balas terlazim akan terhapus. Terakhir ialah pembelajaran semula iaitu proses pembelajaran dilakukan dari peringkat awal semula.

         Tokoh kedua pula iaitu J.B Watson (1878 – 1958). Watson mempunyai latar belakang kehidupan yang agak teruk dan hasil daripada itu, dia telah belajar lebih mendalam mengenai apa yang telah dilaluinya. Watson juga dikenali sebagai bapa behavioris. Watson mendapati emosi memainkan peranan penting dalam teori ini kerana dalam kajiannya berkenaan tingkah laku manusia yang mengatakan manusia dapat dikawal da diramal. Watson menyatakan kanak-kanak mempunyai tiga jenis emosi iaitu marah, takut dan sayang.

        Mengikut Watson, tingkah laku manusia ialah sesuatu refleks terlazim (conditioned reflex), iaitu sesuatu gerak balas yang dipelajari melalui proses pelaziman klasik. Dengan perkataan lain, semua pembelajaran adalah pelaziman klasik. Watson juga berpendapat gerakan-gerakan refleks yang mudah seperti bersin apabila hidung gatal adalah gerakan yang berlaku secara semula jadi ataupun tingkah laku yang diwarisi dan tidak perlu dipelajari.

Watson menjelaskan jenis pembelajaran ini berlaku berdasarkan kepada dua prinsip yang utama. Pertama ialah Prinsip Kekerapan,(frequency) yang menyatakan bahawa lebih kerap gerak balas terhadap rangsangan tertentu berlaku, lebih besar kemungkinan gerak balas yang sama akan berlaku apabila rangsangan itu wujud semula pada masa kelak dan yang kedua ialah Prinsip Tempoh Kebaruan,(recency)  yang menyatakan bahawa semakin baru tempoh kita menggunakan sesuatu gerak balas terhadap sesuatu rangsangan, semakin lebih besar kemungkinan kita akan bergerak balas secara serupa terhadap rangsangan itu, jika rangsangan itu berlaku lagi.

Teori pelaziman operan pula dipelopori oleh E.L Thorndike (1874 – 1949). Pelaziman operan bermaksud pembelajaran melibatkan kesan akbiat tingkah laku menjadi kemungkinan kepada tingkah laku seterusnya diulangi, diteruskan atau dihentikan. Ia juga dikenali sebagai pelaziman instrumental. Teori yang diperkenalkan ialah connectionism iaitu rangsangan dan gerak balas akan menjadi kukuh jika kesan tingkah laku yang dihasilkan memuaskan. Melalui eksperimen yang dijalankan olehnya, Thorndike berpendapat bahawa pembelajaran berlaku hasil daripada gabungan antara S-R, iaitu stimulus (rangsangan) dan response (gerak balas). Teori Pelaziman Operan Thorndike juga dikenali sebagai teori cuba-jaya. Beliau juga menyatakan bahawa hubungan antara rangsangan dengan gerak balas menjadi lebih kukuh apabila wujud kesan yang positif dan sebaliknya. Oleh itu, Thorndike menyarankan bahawa pembelajaran manusia dikawal oleh hukum tertentu, yang disebut sebagai hukum pembelajaran. Hukum-hukum pembelajaran ini dapat dibahagikan kepada tiga iaitu Hukum Kesediaan, Hukum Latihan dan Hukum Kesan.

         Hukum kesediaan ialah persediaan awal yang merupakan perkara penting untuk mencapai matlamat atau objektif sesuatu tindakan. Teori Pelaziman Operan Thorndike mengatakan tiga aspek penting dalam hukum kesediaan iaitu kesediaan kognitif,afektif dan psikomotor.
Hukum latihan ialah hubungan rangsangan dan gerak balas yang menjadi kukuh sekiranya adanya pengulangan atau latihan dan sebaliknya berlaku jika tiada latihan. Untuk menjamin pembelajaran sentiasa berkesan, latihan perlu dibanyakkan dan dipelbagaikan.
Hukum kesan pula menyatakan bahawa jika sesuatu tindakan diikuti oleh sesuatu perubahan persekitaran yang menyeronokkan, kebarangkalian tindakan itu berlaku akan meningkat dan sebaliknya. Selepas gerak balas terhasil, pertalian antara rangsangan dan gerak balas akan bertambah kukuh, jika terdapat kesan yang menyeronokkan. Kesan yang negatif akan melemahkan pertalian antara R-G.

           B.F Skinner (1904-1990) pula meneruskan usaha E.L Thorndike dalam kajian tentang pelaziman operan iaitu pembelajaran yang menekankan hasil kesan akibat yang membawa kepada tingkah laku baharu, tingkah laku diteruskan atau diulangi dan sebaliknya. Oleh itu, hukuman dan dendaan, ganjaran dan peneguhan membawa kesan yang tertentu kepada kemungkinan wujudnya tingkah laku baharu atau sebaliknya. Teori beliau adalah berasaskan pandangan teori hubungan (connectionist) oleh Thorndike iaitu rangsangan dan gerak balas akan menjadi kukuh sekiranya  kesan tingkah laku menyeronokkan. Teori Skinner terkenal kerana konsep peneguhan amat ditekankan dan disertakan dengan ganjaran dan hukuman. Sehingga sekarang konsep ini masih diguna pakai dan merupakan satu usaha yang menarik untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.
             B.F Skinner juga menjelaskan bahawa sesuatu peneguhan boleh bersifat negatif atau positif. Contoh peneguhan positif adalah pujian, ganjaran, hadiah dan sebagainya. Pujian adalah penting kerana ia akan mendorong  dan memotivasikan diri seseorang pelajar itu supaya mengeluarkan hasil yang lagi baik pada masa hadapan. Manakala peneguhan negatif pula tidak boleh disamakan dengan hukuman atau denda. Contoh peneguhan negatif ialah menyuruh pelajar membuat semula soalan yang salah sebanyak lima kali lagi. Secara tidak sengaja, ia akan memberi motivasi kepada pelajar dan juga bukan sebagai dendaan semata-mata.Malah,Hukuman pula terbahagi kepada hukuman beri (persembah) dan hukuman tarik ( singkir).
        Berdasarkan teori-teori yang dikemukakan oleh keempat-empat tokoh itu, kita sebenarnya boleh menerapkan amalan-amalan murni tentang pengajaran dan juga pembelajaran di dalam kelas kini. Implikasi terhadap amalan pembelajaran amat mendalam yang mana guru boleh mengaplikasikan konsep-konsep pembelajaran ini dalam pengajaran bagi memastikan pembelajaran boleh berjalan dengan lancar. Bagi memberi gambaran dengan lebih jelas lagi, beberapa situasi akan diberikan untuk menunjukkan perkaitan antara konsep dan teori pembelajaran behavioris dengan amalan pembelajaran di sekolah kini.
Pertama, Ivan Pavlov amat menekankan dari aspek motivasi yang perlu diberikan kepada para pelajar. Motivasi ini mempunyai pelbagai jenis contohnya motivasi diri sendiri, motivasi kepada orang lain dan juga motivasi secara umum. Di dalam proses pengajaran dan pembelajaran, motivasi boleh diselitkan sebagai selingan, permulaan atau akhiran pada waktu kelas. Motivasi ini dapat memberi semangat kepada para pelajar di samping dapat memupuk minat para murid dan pembelajaran akan berlaku dengan berkesan. Sebaliknya akan berlaku apabila murid-murid tiada motivasi untuk menghadapi proses pembelajaran. Murid-murid akan mengalih perhatian mereka kepada perkara lain kerana  mereka sendiri tiada minat untuk belajar. Namun begitu, guru yang juga seorang motivator seharusnya memulakan kelas dengan sedikit aktiviti seperti mengutip sampah dan juga melakukan senaman ringan. Ini adalah kerana persediaan para pelajar penting untuk menjamin kesempurnaan proses pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya murid-murid menunjukkan reaksi yang mereka tidak berminat pada pembelajaran, guru perlulah memberi nasihat ataupun motivasi kepada mereka untuk memastikan mereka sedar bahawa ilmu pengetahuan itu sangat berguna pada kita semua.

           Pavlov juga menyarankan guru memperbanyakkan latihan bagi memastikan kaitan antara rangsangan neutral dengan rangsangan semula jadi menjadi kukuh. Jikalau pembelajaran terdahulu tidak diberi peneguhan maka murid-murid akan cepat melupakannya. Selain itu, murid-murid sekiranya dibiasakan dengan rangsangan yang menyeronokkan, mereka akan menghubungkaitkan pengalaman itu dengan keselesaan di dalam bilik darjah begitu juga sebaliknya. Ganjaran yang berupa pujian dan hadiah juga dapat menambahkan semangat para pelajar dan kesalahan para pelajar perlu ditegur dengan lemah lembut. Oleh itu, guru perlu memastikan murid-murid merasakan dirinya diterima oleh guru dan juga rakan-rakannya dan ini akan menghasilkan perasaan selamat dan suka berada dalam bilik darjah.
Kemudian, Emosi yang positif akan memastikan suasana pembelajaran berlaku dengan berkesan. Menurut Watson, emosi dapat dikawal dan diramal . oleh itu, suasana bilik darjah yang mesra, berperaturan, layanan adil dan seumpamanya dapat membentuk emosi yang positif. Begitu juga dengan minat murid-murid terhadap setiap mata pelajaran yang mana minat murid-murid boleh dibentuk atau dihapuskan melalui proses pelaziman. kaedah pengajaran yang menarik boleh menimbulkan rasa minat di kalangan para pelajar . Contohnya, penggunaan alat bantu mengajar yang pelbagai. Murid-murid akan berasa lebih seronok sekiranya pembelajaran mereka disertakan dengan bahan yang konkrit. Selain itu, guru perlu mempelbagai aktiviti semasa proses pembelajaran berlaku. Guru boleh mengadakan pembelajaran di luar bilik darjah dan ini akan menimbulkan minat murid-murid terhadap proses pengajaran.

       Pavlov juga menyatakan bahawa latihan yang berterusan amat diperlukan kerana ingin memastikan perkaitan rangsangan neutral dan rangsangan semulajadi kukuh. Pembelajaran berlaku di sekolah pada setiap sesi dan penyampaian ilmu sentiasa berlaku pada setiap masa. Jadi, untuk menguatkan ingatan para pelajar dengan apa yang telah dipelajari, teknik peneguhan amat penting supaya pelajar tidak mudah lupa akan apa yang telah dipelajari.

         Emosi yang stabil dan positif boleh memastikan suasana pembelajaran berjalan dengan lancar dan berkesan. Menurut Watson, emosi murid-murid ini boleh dibentuk melalui proses pelaziman. oleh yang demikian, guru hendaklah memainkan peranan untuk memastikan emosi positif dibina di dalam diri pelajar. Suasana bilik darjah yang kondusif,menarik, dan selesa dapat membentuk emosi yang positif. Begitu juga dengan minat murid-murid terhadap setiap mata pelajaran yang mana minat murid-murid boleh dibentuk atau dihapuskan melalui proses pelaziman. Oleh itu, keadah pengajaran guru hendaklah menarik bagi memastikan timbulnya minat para murid untuk belajar. Banyak cara untuk memastikan keadah pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan menarik serta menyeronokkan. Contohnya, penggunaan alat bantu mengajar yang pelbagai. Murid-murid akan berasa lebih seronok sekiranya pembelajaran mereka disertakan dengan bahan yang konkrit. Selain itu, guru juga boleh mengadakan sesi pembelajaran di luar kelas juga kerana ia dapat mengembangkan minda para pelajar. Beri peluang kepada pelajar untuk belajar secara selesa supaya mereka dapat memahami dan mengingati apa yang telah dipelajari.
Selain itu, proses pembelajaran juga perlu berpandukan kepada dua prinsip yang dinyatakan oleh Watson iaitu Prinsip Kekerapan,(frequency) dan Prinsip Tempoh Kebaruan,(recency). Prinsip kekerapan membawa implikasi bahawa murid-murid perlu memahami dan mengulangkaji setiap tajuk dalam sesuatu mata pelajaran dengan kerap. Pelbagai cara yang dapat murid-murid lakukan mengikut kemahuan dan kemampuan diri sendiri seperti membuat latihan, belajar secara berkumpulan ataupun membuat carta minda yang akan memudahkan murid-murid untuk mengulangkaji pelajaran. Ini akan menjamin kebolehan mereka untuk mengingat kembali konsep-konsep pelajaran dengan mudah.

Prinsip kebaruan iaitu setiap murid-murid perlu membuat ulangkaji pelajaran dengan sempurna sebelum menempuh peperiksaan. Ulangkaji dan juga peneguhan perlu dilakukan secara berterusan bukannya pada tempoh ataupun waktu-waktu tertentu sahaja. Guru perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kedua-dua prinsip ini boleh dijalankan didalam kelas sewaktu proses pembelajaran berlaku. Guru boleh menyediakan soalan-soalan berbentuk pengukuhan untuk memantapkan lagi tahap kefahaman murid-murid. Peranan guru ini akan memastikan proses pengajaran serta pembelajaran akan berlaku dengan baik sekali.

      Konsep hukum kesediaan boleh diperluas untuk digunakan di dalam bilik darjah. Seseorang murid itu perlu bersedia dari segi mental, minat dan sikap dan psikomotor sebelum pembelajaran berkesan dapat berlaku. Guru sepatutnya mengaitkan pembelajaran baharu dengan pengetahuan sedia ada. Ini akan menyediakan situasi yang memberangsangkan dan seterusnya membangkitkan rasa ingin tahu serta motivasi dalam diri murid-murid. Selain itu, menurut Thorndike,  latihan dan pengulangan akan meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Ia juga boleh meningkatkan kemahiran dan ingatan pelajar. Oleh itu, guru sepatutnya menyediakan latihan yang banyak kerana latihan yang disediakan ini adalah peneguhan kepada pembelajaran yang telah berlaku itu. Menurut Thorndike dalam hukum latihan, perkaitan antara rangsangan dan gerak balas (R-G) akan bertambah kukuh melalui latihan yang diulang-ulang. Seseorang individu akan menguasai kemahiran jika latihan diadakan. Hukum latihan menyatakan bahawa sesuatu tingkah laku akan diteguhkan melalui aplikasi dan akan dilemahkan tanpa pengukuhan.

Oleh itu, penyediaan latihan serta peneguhan secara berterusan daripada guru-guru akan membantu murid-murid dalam proses pembelajaran mereka. Mereka akan memahami konsep serta apa yang mereka pelajari dengan lebih cepat dan mudah.

            Selain itu juga, guru-guru perlu menyediakan satu kaedah pengajaran yang menarik  serta berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran didalam kelas. Ini akan memberi rangsangan yang positif kepada murid-murid apabila bahan pembelajaran yang disediakan itu menarik minat mereka untuk belajar. Bahan-bahan bantu mengajar amat penting pada masa kini terutama kepada murid-murid sekolah rendah kerana mereka belajar melalui proses pemerhatian serta sentuhan. Oleh itu, bahan-bahan yang maujud dan konkrit perlu disediakan untuk menambahkan lagi minat serta membantu mereka untuk memahami sesuatu konsep dengan mudah.

         Sistem pembelajaran kini amat menekankan proses peneguhan. Peneguhan boleh dalam pelbagai bentuk seperti latihan, ulangkaji secara berterusan ataupun pujian. Tetapi, peneguhan ini hendaklah diaplikasikan oleh guru secara betul dan bersesuaian dengan situasinya. Sebagai contoh, guru memberi latihan dan pujian haruslah diberikan oleh guru kepada murid-murid sekiranya mereka berjaya menyelesaikan sesuatu masalah itu ataupun latihan yang diberikan tadi. Pujian tersebut akan memberi dorongan dan juga semangat kepada mereka untuk meneruskan prestasi baik di dalam bilik darjah. Seterusnya, mereka akan lebih bermotivasi untuk meneruskan proses pembelajaran mereka. Tetapi, pujian adalah satu bentuk ganjaran dan guru-guru digalakkan untuk terlalu memberi pujian kepada murid-murid. Hal ini kerana, murid-murid yang mendapat pujian akan merasa bangga diri manakala murid-murid yang tidak mendapat pujian akan merasakan diri mereka tersisih dalam kelas tersebut.

            Selain itu, teori pembelajaran behavioris memberi kesan kepada proses pengajaran serta pembelajaran yang mana proses ini dijalankan secara berturutan mengikut peringkat-peringkat yang ditetapkan. Ini akan memudahkan lagi proses pemahaman murid-murid kerana proses ini akan bermula dari peringkat mudah kepada yang lebih kompleks. Sebagai contoh, murid-murid akan belajar proses mengenal nombor terlebih  dahulu. Selepas dapat menguasai peringkat ini, mereka akan beralih kepada peringkat yang lebih kompleks iaitu operasi tambah, tolak, darab dan juga bahagi. Untuk memastikan murid-murid dapat menguasai dengan baik di setiap peringkat, peranan guru amat penting. Guru perlu mengusun langkah pengajaran secara sistematik dan jika perlu, adakan aktiviti untuk setiap peringkat pembelajaran. Hal ini kerana, murid-murid akan cepat memahami sesuatu pembelajaran sekiranya mereka dapat merasai proses pembelajaran tersebut.

Mengikut pendapat B.F Skinner, guru perlu mempraktikkan peneguhan berkala nisbah atau juga jeda masa berubah semasa proses pengajaran dan pembelajaran kerana murid-murid akan sentiasa bermotivasi dan bersedia untuk memberikan perhatian kepada aktiviti pembelajaran. Hal ini kerana, murid-murid tidak akan dapat menjangkakan bila mereka akan diuji. Sebaliknya, murid-murid akan bermotivasi pada waktu-waktu tertentu sahaja sekiranya guru mengamalkan peneguhan berkala nisbah atau juga jeda masa tetap.





0 comments:

Catat Ulasan

Flag Counter
Home About-us Privacy Policy Contact-us Services
Copyright © 2014 GobokGuru | All Rights Reserved. Design By Blogger Templates | Free Blogger Templates.