Sastera merupakan satu cabang ilmu yang mempunyai peranan tersendiri dalam mengisi matlamat sesuatu negara. Bahasa, budaya dan sastera merupakan tiga entiti yang saling melengkapi dan merupakan satu elemen penting dalam pembentukan sesuatu negara bangsa. Menurut A. Rahman Embong (2000), “Bahasa, budaya dan sastera adalah komponen subjektif yang merupakan unsur intangible sesuatu bangsa. Ia boleh memainkan peranan sebagai pemersatuan, dan sebagai ramuan yang tidak boleh tiada untuk membina kesedaran kolektif, membentuk bangsa dan mencorakkan destininya. Bahasa, budaya dan sastera amat penting bagi sesuatu bangsa untuk mengukuhkan dan meningkatkan martabatnya dalam komuniti bangsa – bangsa yang merdeka an berdaulat di dunia”.
Atas dasar itu, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Malaysia telah memasukkan komponen sastera sebagai salah satu bahagian dalam pembelajaran bahasa. Pada awalnya, hanya mata pelajaran bahasa Melayu sahaja yang diberi perhatian dalam isu ini. Namun kemudian, bahasa Inggeris juga mengalami tindakan yang sama bila mana sastera dimasukkan sebagai salah satu elemen pembelajaran. Malah kini, sastera juga diserap masukkan dalam pembelajaran bahasa – bahasa minoriti seperti bahasa Cina, Tamil, Iban, Dusun dan Semai.
Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Malaysia bertujuan untuk menjana minda, rohani, dan emosi, mengukuhkan jati diri, menyuburkan budaya bangsa, dan memupuk sikap ke arah pembinaan insan bestari (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003). Bagi memperkukuhkan lagi elemen sastera dalam pendidikan di Malaysia, Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia atau KOMSAS digubal bagi membantu guru – guru bahasa dalam menerapkan unsur sastera dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu.
0 comments:
Catat Ulasan