Home About-us Privacy Policy Contact-us Services

Khamis, 12 Disember 2013

Kemahiran Kesihatan Diri

ad+1

Kemahiran Kesihatan Diri merupakan salah satu daripada enam teras utama yang telah digariskan oleh kerajaan dalam pendekatan Program Bersepadu Sekolah Sihat (PBSS). Menurut Mohd Zairi Husain (2012), teras – teras ini hendaklah diterjemahkan kepada strategi – strategi dan kaedah pelaksanaan yang lebih khusus agar ianya mudah difahami dan dapat dilaksanakan oleh semua warga sekolah. Ciri – ciri promosi kesihatan, penerapan nilai – nilai kesihatan secara menyeluruh yang merangkumi aspek fizikal, mental, psiko-sosial dan kerohanian adalah di antara cirri – cirri yang diberikan penekanan dan penelitian bagi membangun dan membentuk satu model sihat dan amalan gaya hidup sihat.
PBSS memberi ruang untuk tindakan bersepadu yang mengambil kira kurikulum sekolah, keadaan fizikal dan sosial sekolah, perkhidmatan kesihatan sekolah dan peraturan dan garis panduan yang member impak kepada kesihatan. Ianya melibatkan semua warga sekolah termasuk pentadbir sekolah, guru, pelajar, pekerja sekolah dan masyarakat setempat. PBSS dapat menyokong dan meningkatkan pendidikan dan kesihatan seluruh warga sekolah seterusnya menjadi asas dalam membentuk satu negara yang sihat selaras dengan wawasan kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 berlandaskan Wawasan 2020.
Matlamat utama PBSS ialah melahirkan warga sekolah dan persekitarannya yang sihat, selamat dan berkualiti kearah pencapaian wawasan negara. Ke semua enam tunjang di bawah program ini mampu untuk merealisasikan matlamat ini berdasarkan rekod lama program ini. Menurut Azhar (2010), program ini pertama kali telah dimulakan pada tahun 1967 meliputi semua kegiatan dan amalan yang direka untuk mempertahankan, menggalakkan dan menjaga kesihatan optima murid – murid.
Kemahiran kesihatan diri mempunyai tujuh aspek yang perlu penekanan dari setiap aspek. Antara aspek – aspek berikut adalah kesihatan diri, kesihatan pergigian, senaman dan kecergasan, kesihatan mental dan sosial, anatomi dan fisiologi tubuh badan, makan secara sihat dan pertolongan cemas. Pertolongan cemas merupakan perkara paling asas apabila sesuatu kes atau insiden berlaku. Rawatan pertolongan cemas merupakan bantuan permulaan atau rawatan pertama apabila sesuatu kemalangan berlaku. Pertolongan ini diberikan kepada mangsa yang tercedera dalam suatu kemalangan atau sakit secara mengejut sebelum mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan yang bertauliah. Apabila diberikan kepada mangsa, ianya akan dapat mengurangkan kesakitan, mencegah kecederaan daripada menjadi lebih serius serta dapat menyalamatkan nyawa mangsa. Apabila murid diberikan ilmu dan kemahiran mengenai rawatan pertolongan cemas, mereka sudah mempunyai asas untuk menyelamatkan mangsa sekaligus memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai dunia perubatan.
Senaman dan kecergasan merupakan salah satu aspek di bawah tunjang kemahiran kesihatan diri di dalam PBSS.  Senaman dan kecergasan merupakan pelaburan terbaik untuk kehidupan lebih panjang dan kesihatan sepanjang hayat. Ramai yang percaya bahawa makanan seimbang boleh membantu kita mengekalkan kesihatan namun apalah gunanya makanan seimbang tanpa diimbal balik dengan senaman dan kecergasan yang secukupnya. Bagi murid – murid, senaman amat penting kerana ianya akan membantu mereka untuk tumbuh membesar setiap hari. Makanan seimbang dan senaman merupakan kombinasi hebat dalam usaha memastikan bahawa murid akan tumbuh dan membesar dengan sihat dan sempurna. Menurut Amira Farhanah (2011), pertumbuhan kanak – kanak berlaku dalam tiga aspek iaitu penambahan bilangan sel (hyperplasia), penambahan saiz sel (hipertorpi) dan penambahan bahan – bahan interselular (accretion). Proses pertumbuhan ini berbeza mengikut umur dan tisu – tisu badan yang terlibat, oleh hal yang demikian, makanan yang seimbang ditambah dengan senaman yang mampu meningkatkan kecergasan akan mampu menggalakkan pertumbuhan tisu, otot dan tulang murid – murid yang sempurna selaras dengan objektif PBSS.
Kesihatan pergigian merupakan salah satu aspek di bawah kemahiran kesihatan diri yang dititikberatkan di dalam PBSS. Secara tradisionalnya, ramai murid takut untuk bertemu dengan doktor gigi. Mereka sedari kecil telah dimomokkan dengan pelbagai cerita negatif mengenai doktor gigi menyebabkan mereka amat takut untuk bertemu dengan doktor gigi. Melalui pendekatan – pendekatan di bawah PBSS, demi untuk mengikis prasangka negatif tersebut, beberapa aktiviti dijalankan di bawah PBSS. Setiap tahun, dua kali pasukan pergigian dari pejabat kesihatan daerah akan datang ke sekolah dan membuat pemeriksaan kesihatan gigi secara percuma. Selain hal itu, terdapat sekolah – sekolah yang mewajibkan murid – murid untuk memberus gigi setiap kali selepas waktu rehat. Lima minit diperuntukkan sebelum rehat tamat bagi membolehkan murid – murid memberus gigi secara berkelompok. Banyak sekolah telah memperaktikkan amalan ini seperti SK Kampong Jawa, Segamat (Ziham Zawawi, 2010).
Kesihatan emosi dan social merupakan aspek paling penting bagi memastikan keberjayaan program PBSS ini. Dewasa ini, menurut statistik, ramai murid mengalami gangguan emosi yang sekaligus memberi impak negatif kepada proses pembelajaran mereka. Tekanan atau stress merupakan salah satu punca utama kepada permasalahan emosi dalam kalangan murid. Menurut Hamdan (2006), stress merupakan satu fitrah kehidupan. Ya, tekanan atau stress merupakan salah satu fitrah kehidupan yang perlu dihadapi oleh semua insan tidak mengira umur. Namun stress yang berlebihan boleh membawa kesan negatif sekaigus membawa kepada burn out. Hatta Sidi & Mohd Hatta (2005) mendefinisikan stress sebagai satu tindak balas minda dan fizikal yang terhasil dari cabaran – cabaran yang dihadapi. Nor Hanani (2005) pula menjelaskan stress sebagai tekanan, beban, konflik, keletihan, panik, perasaan gemuruh, kebimbangan, kemurungan dan hilang daya. Gejala stress terhasil apabila seseorang itu berasa keperluan melebihi daripada keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya.
Kemahiran kesihatan diri di bawah PBSS memberikan beberapa impak positif sama ada kepada murid, guru, ibu bapa, stake holder mahupun sekolah. Program ini mempergunakan model kesihatan holistik yang merangkumi aspek fizikal, mental, sosial dan persekitaran. Hal ini bagi memastikan bahawa satu persekitaran sekolah yang sihat dapat dibentuk dan dapat membuka peluang kepada kanak – kanak/ murid murid untuk mengamalkan tabiat kesihatan yang baik. Program ini juga menggalakkan penglibatan keluarga dalam perkembangan pengetahuan dan kemahiran kesihatan kanak – kanak. Di bawah program ini, bukan hanya murid – murid yang diberi pendedahan mengenai kemahiran kesihatan diri bahkan ibu bapa juga turut dijemput untuk menimba ilmu tentang kemahiran kesihatan diri. Adalah diharapkan dengan cara ini ibu bapa akan dapat membantu murid – murid mengamalkan kemahiran kesihatan diri yang telah diajarkan di sekolah.
PBSS memberi penekanan kepada pentingnya persekitaran fizikal seperti bangunan, sanitasi, bekalan air dan padang permainan kanak – kanak yang mempengaruhi kesihatan kanak – kanak. Melalui program ini, semua pihak dijelaskan tentang peri pentingnya memastikan bahawa persekitaran fizikal seharusnya bersih dan selamat kerana persekitaran fizikal merupakan penyumbang terbesar kepada masalah – masalah kesihatan diri murid – murid. Melalui program ini juga, pihak sekolah dihubungkaitkan dengan perkhidmatan kesihatan daerah dan kawasan bagi menyelesaikan masalah kesihatan tertentu dalam kalangan murid – murid. Murid dari latar tempat dan lokaliti yang berbeza mempunyai masalah kesihatan yang berbeza. Melalui program ini, pihak sekolah dan pihak perkhidmatan kesihatan daerah dapat merapatkan hubungan sekaligus mereka akan dapat bahu membahu mengatasi masalah kesihatan dalam kalangan murid sekolah tersebut.
Di samping itu, program ini juga memberi kesempatan kepada pihak sekolah dan masyarakat setempat bagi bekerjasama dalam inisiatif kesihatan yang membawa faedah kepada murid, keluarga dan anggota masyarakat. Jika pihak sekolah bekerjasama dengan pihak hospital untuk mengadakan kempen kesihatan, anggota masyarakat boleh dijemput untuk sama – sama menjayakan kempen ini sama ada secara sumbangan tenaga mahupun hadir bagi memeriahkan lagi kempen ini. Mohd Zairi (2010), menambah lagi tentang kepentingan program ini. Menurut beliau, kemahiran kesihatan diri memberi penekanan kepada penglibatan murid secara aktif dalam kurikulum formal untuk membentuk satu siri pengetahuan dan juga kemahiran berkaitan kesihatan. Apabila murid sudah dibekalkan dengan imlu dan kemahiran tentang penjagaan kesihatan diri, terpulang kepada mereka untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran tersebut. Langkah ini seharusnya dipantau oleh guru – guru dan dibimbing oleh ibu bapa. Murid – murid pada tahap sekolah rendah masih belum mampu untuk berfikir secara rasional mengenai kemahiran kesihatan diri ini. Jelas, ibu bapa dan gurulah yang seharusnya membantu mereka agar matlamat dan objektif kemahiran kesihatan diri dapat direalisasikan. 

RUJUKAN

Buschner, C. (1994). Teaching Children Movement Concepts and Skills Campaign II: Human Kinetics.

Hamdan. (2006). Definisi Stres dalam Tekanan Emosi dalam kalangan Guru.

Konsep Setiap Tunjang dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani. (2011, November 25). Retrieved 2012, from http://notapendidikanjasmani.blogspot.com/2011_11_01_archive.html

Mohd Zairi, H. (2012). Program Bersepadu Sekolah Sihat. Johor Bahru, Johor, Malaysia.

0 comments:

Catat Ulasan

Flag Counter
Home About-us Privacy Policy Contact-us Services
Copyright © 2014 GobokGuru | All Rights Reserved. Design By Blogger Templates | Free Blogger Templates.