Home About-us Privacy Policy Contact-us Services

Isnin, 28 Disember 2009

Laporan Kajian Gaya Pembelajaran dengan Amalan Pengajaran di Sekolah

ad+1

Seperti yang diketahui umum, semua orang adalah berbeza dalam pelbagai aspek termasuklah aspek pendidikan atau lebih spesifik lagi ialah gaya pembelajaran seseorang. Gaya pembelajaran sememangnya berbeza antara satu sama yang lain kerana kita sememangnya dilahirkan dengan keupayaan mental yang berbeza. Ada manusia yang lahir dengan akal yang pintar dan ada juga manusia yang memerlukan masa untuk mempelajari sesuatu. Oleh hal yang demikian, para bakal guru perlu memahami gaya-gaya pembelajaran yang telah dikaji oleh para cendekiawan agar dapat dijadikan panduan dalam menempuh alam pendidikan nanti.

Menurut Dunn & Dunn (1981) gaya pembelajaran ialah cara setiap murid mula memberikan tumpuan, memproses atau menyimpan maklumat baharu dan maklumat yang sukar. Semasa di dalam kelas, setiap murid akan cuba memberikan tumpuan semasa guru mula mengajar dan mereka akan cuba memproses maklumat yang disampaikan oleh guru tersebut lalu menyimpan maklumat tersebut dalam minda sedar mereka. Apa yang membezakan seseorang murid antara satu sama lain ialah bagaimana mereka memahami maklumat baharu tersebut dan bagaimana mereka memproses maklumat tersebut. Hal inilah yang perlu difahami oleh bakal guru agar mereka dapat membantu anak-anak murid mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas.
Menurut Woolfolk (1998) gaya pembelajaran ialah pendekatan tersendiri seseorang individu kepada pembelajaran dan biasanya melibatkan pemprosesan maklumat yang mendalam. Woolfolk bersependapat dengan Dunn & Dunn. Mereka bersepakat bahawa gaya pembelajaran adalah bagaimana murid memproses maklumat yang diperolehi daripada gurunya iaitu sama ada maklumat baharu ataupun maklumat yang sukar. Entwistle (1981) pula memberikan definisi yang lebih umum. Menurut Entwistle gaya pembelajaran ialah tingkah laku konsisten seseorang murid dalam cara ia belajar. Secara kesimpulannya dapatlah dirumuskan bahawa gaya pembelajaran ialah cara seseorang menerima dan memproses maklumat dalam pelbagai cara yang berbeza-beza.

Pada 17 hingga 21 Ogos yang lalu, penulis berkesempatan mengikuti program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) atau ‘School Based Experience (SBE)’ selama seminggu di Sekolah Kebangsaan Bukit Hampar, Segamat bersama-sama beberapa rakan penulis dari beberapa IPGM lain dari seluruh Malaysia. Program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) atau ‘School Based Experience (SBE)’ merupakan program kelolaan Bahagian Pendidikan Guru di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Melalui program ini penulis berkesempatan membuat pemerhatian terhadap gaya-gaya pembelajaran murid-murid di sekolah tersebut. Penulis akan menghuraikan topik gaya pembelajaran dan membuat huraian beserta contoh berdasarkan apa yang penulis telah perhatikan di sekolah tersebut.

Sebelum kita pergi lebih jauh lagi dalam mengkaji topik ini, perlulah diketahui dahulu apakah faktor yang membawa kepada perbezaan dalam gaya pembelajaran individu. Menurut pendapat beberapa ahli psikologi pendidikan yang menjalankan kajian berhubung gaya pembelajaran manusia, antara faktor yang membawa kepada perbezaan gaya pembelajaran adalah faktor warisan, cara didikan dan persekitaran.
Faktor warisan, cara didikan dan persekitaran dalam konteks ini dapatlah dikatakan sebagai faktor genetik dan pengaruh budaya warisan yang diamalkan dalam keluarga serta masyarakat keliling kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarga yang masih lagi mandi menggunakan perigi mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza dengan kanak-kanak yang ibu bapanya memandu Mercedes Benz ke tempat kerja. Budaya yang diamalkan oleh keluarga dan masyarakat disekitar kanak-kanak tersebut juga boleh menjadi faktor yang membawa kepada perbezaan ini. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam masyarakat yang tidak cukup keperluan infrastrukturnya seperti kawasan pedalaman mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza dengan kanak-kanak yang dibesarkan dikawasan yang cukup keperluan infrastrukturnya seperti di kawasan bandar.

Seterusnya kita beralih kepada topik utama kita iaitu gaya pembelajaran. Gaya pembelajaran yang pertama ialah pelajar visual. Pelajar visual merupakan pelajar yang lebih suka menjalani pembelajaran melalui deria penglihatan mereka. Sewaktu belajar, mereka perlu menatap wajah guru mereka yang menyampaikan isi pelajaran dengan bantuan bahasa isyarat, imej gambar-gambar, paparan visual termasuk rajah-rajah, buku-buku teks yang mempunyai ilustrasi, tranperansi, video, carta dan edaran-edaran bahasa. Sewaktu penulis berada di Sekolah Kebangsaan Bukit hampar, penulis berjaya menemui beberapa orang murid yang belajar secara visual. Murid tersebut merupakan pelajar darjah 5 kelas terakhir bagi darjahnya. Biarpun murid tersebut berada dikelas terakhir namun semangat yang ditunjukkan oleh murid tersebut untuk belajar adalah tinggi. Namun apa yang penulis dapat katakan ialah, murid ini merupakan seorang pelajar visual namun amalan pengajaran oleh guru-gurunya kebanyakkannya adalah lebih kepada “chalk and talk”. Hal ini menyebabkan murid tersebut menghadapi konflik apabila gaya pembelajarannya tidak selari atau boleh dikatakan tidak “kena” dengan cara pengajaran oleh kebanyakkan gurunya. Oleh hal yang demikian, kepada bakal guru hal seperti ini dapat dielakkan jika guru murid terwebut tahu mengenai gaya pembelajarn anak-anak muridnya dan mengaplikasikannya dalam P&P mereka.

Selain gaya pembelajaran visual terdapat juga gaya pembelajaran auditori yang mana murid jenis ini lebih suka belajar melalui pendengaran mereka. Bagi mereka intonasi suara, pitch, kelajuan dan butiran-butiran lain adalah sangat penting bagi mereka ketika mendengar pengajaran yang disampaikan oleh guru mereka. Cara belajar yang paling berkesan bagi murid yang mempunyai gaya pembelajaran seperti ini ialah melalui kuliah, perbincangan dan sesi perkongsian pendapat dengan orang lain. Kebiasaannya, kanak-kanak bekeperluan khas seringkali mengamalkan gaya pembelajaran ini terutamanya kanak-kanak bekeperluan khas cacat penglihatan. Hal ini kerana mereka tidak dapat melihat sebaliknya mereka hanya mampu mendengar menggunakan telinga.

Gaya pembelajaran yang seterusnya ialah pelajar taktik atau kinestetik. Pelajar jenis ini lebih suka belajar melalui pergerakan, merasa, menyentuh, menyusun, mereka cipta dan membina atau membuat. Pendekatan yang paling berkesan untuk murid-murid ini adalah melalui pendekatan “hands-on”. Solomon (1998) mengatakan bahawa murid yang mempunyai gaya pembelajaran ini suka belajar secara penemuan seperti melakukan eksperimen sains, membuat aktiviti geografi dan bermacam-macam aktiviti lain lagi yang membolehkan murid menemui atau melihat sendiri apa yang dikatakan oleh guru mereka semasa P&P.Semasa penulis berada di Sekolah Kebangsaan Bukit Hampar, penulis mendapati terdapat beberapa orang guru yang sangat rajin dan berkebolehan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti P&P berbentuk “hands-on’ untuk anak-anak murid mereka. Kebanyakkan mereka adalah guru Sains, Matematik dan Pendidikan Seni Visual. Apa yang mengagumkan penulis ialah guru-guru ini kebanyakkannya bukan sahaja menggunakan teknik “hands-on” dalam subjek masing-masing untuk kelas-kelas hadapan malah menggunakan teknik yang sama untuk murid-murid di kelas hujung. Hal ini membolehkan murid yang mempunyai gaya pembelajaran jenis ini mendapat peluang untuk memahami apa yang ingin disampaikan guru mereka dengan lebih efektif.

Gaya pembelajaran yang seterusnya ialah gaya pembelajaran aktivitis. Pelajar aktivis suka mengambil bahagian secara aktif dalam proses pembelajaran Mereka tiidak akan leka semasa di dalam kelas.Serta mengambil bahagian di dalam kelas secara peribadi Mereka juga meanggap bahawa pengetahuan baharu yang mereka peroleh itu sebagai kepunyaan peribadinya. Hal ini bermaksud murid jenis ini akan cuba memahami apa yang diajar oleh gurunya dengan berfikir sendiri serta bermonolog. Mereka tidak melakukan kolaborasi dengan individu lain untuk proses pemahaman kerana jika mereka tidak faham mereka akan bertanya sendiri dengan guru mereka. Semasa program PBS yang lalu penulis berpeluang untuk masuk ke kelas unuk melihat bagaimana proses P&P dijalankan. Penulis telah masuk ke kelas Tuan Haji Zainal Arifin iaitu ketua panitia matematik sekolah tersebut. Kelas yang penulis kunjungi ialah kelas 4 Cemerlang iaitu kelas pertama dalam darjahnya. Semasa Tuan Haji Zainal membuat penerangan tentang topik yang disampaikannya, saya dapati terdapat dua orang pelajar India yang sangat kerap mengangkat tangan dan mengajukan soalan. Mereka berdua fasih menggunakan bahasa Inggeris semasa mengajukan soalan. Setelah diamati betul-betul, penulis dapat mengetahui bahawa murid tersebut merupakan seorang murid yang mempunyai gaya pembelajaran aktivis.

Reflektor merupakan jenis gaya pembelajaran yang seterusnya. Pelajar jenis ini gemar berfikir dan mengkaji semula maklumat dan pengetahuan baharu yang diperoleh dalam pemerhatian agar dapat disesuaikan ke dalam kerangka pengetahuan sedia ada. Guru perlu peka, kerana renungan yang terlalu lama dan panjang akan merugikan masa dan kurang mencapai hasil pembelajaran. Pelajar jenis ini agak sukar untuk dikesan dengan mata kasar melainkan mereka mengelamun atau termenung untuk memahami apa yang diajarkan dengan terlalu lama.

Teoris merupakan gaya pemebelajaran yang seterusnya. Pelajar jenis ini suka mencari bukti supaya dapat membuat generalisasi bagi hukum-hukum dan teori-teori. Pelajar jenis ini sentiasa cuba untuk menganalisis dan mensintesiskan data. Mereka juga suka mengorganisasikan konsep dan prinsip serta mencadangkan idea-idea dan hubungan. Murid jenis ini senang dikenalai berdasarkan buku nota mereka kerana mereka akan lebih kerap menggunakan peta minda untuk pemahaman mereka berbanding penulisan nota secara biasa.

Gaya pembelajaran pragmatis ialah pelajar yang sentiasa ingin mengetahui bagaimana sesuatu perkara itu berfungsi walaupun tidak mementingkan bukti. Mereka menganggap pembelajaran sebagai satu proses membina semula pengalaman. Proses pembelajaran berlaku secara aktif semasa mereka melalui proses penyelesaian masalah

Selain daripada gaya pembelajaran yang telah disebutkan terdapat juga gaya pembelajaran hail kajian beberapa lagi para cendekiawan. Menurut Dunn & Dunn, gaya pembelajaran terbahagi kepada dua iaitu pelajar global dan pelajar analitis. Pelajar global melihat secara menyeluruh sebelum dapat memahami bahagian yang lain. Mereka suka persekitaran belajar yang fleksibel, lampu tidak terang, muzik yang mendamaikan, tempat duduk selesa dan persekitaran yang tidak formal. Pelajar analitis pula, perlu melihat bahagian-bahagian dalam urutan sebelum dapat memahami keseluruhannya. Untuk memahami sesuatu konsep baharu, mereka perlu mendapat gambaran dan maklumat secara umum dahulu sebelum mereka memahami konsep atau teori tersebut. Mereka juga suka persekitaran yang berstruktur dan formal.

Apakah yang membezakan individu dalam gaya pembelajaran mereka? Terdapat empat jenis elemen yang menyebabkan berlakunya perbezaan dalam gaya pembelajaran individu iaitu tempoh masa belajar, pembelajaran kendiri, tumpuan serta reaksi terhadap situasi baharu. Keempat-empat elemen ini menjadi ukuran dalam menentukan dan membezakan gaya pembelajaran seorang individu dengan individu yang lain. Tempoh masa belajar merupakan tempoh masa untuk murid-murid memahami apa yang cuba disampaikan oleh guru mereka. Murid yang pintar mempunyai tempoh masa belajar yang amat singkat. Guru hanya perlu menerangkan hanya sekali dan mereka telah memahami apa yang cuba disampaikan oleh guru mereka. Tumpuan pula adalah titik perbezaan paling ketara anatara seorang individu dengan yang lain. Ada murid yang mampu memberikan 100% tumpuan tanpa leka terhadap apa-apa gangguan dan mereka inilah murid yang cemerlang. Ada juga murid yang mudah hilang tumpuan tas beberapa sebab yang kecil seperti terdapat orang yang lalu di tepi kelas mereka dan mereka terus hilang fokus.

Tamsilannya, adalah penting utnuk seorang bakal guru malah guru yang telah mengajar juga untuk memahami serta mengimplikasikan ilmu tentang gaya pembelajaran murid-murid dalam tugas harian mereka sebagai seorang guru. Penulis berpendapat bahawa apabila seorang guru memahami gaya dan corak pembelajaran anak-anak murid mereka mereka akan dapat merancang pengajaran mereka dengan lebih menarik dan berstruktur agar pengajaran tersebut menjadi efektif.

0 comments:

Catat Ulasan

Flag Counter
Home About-us Privacy Policy Contact-us Services
Copyright © 2014 GobokGuru | All Rights Reserved. Design By Blogger Templates | Free Blogger Templates.