Home About-us Privacy Policy Contact-us Services

Jumaat, 15 April 2016

Faktor – faktor mempengaruhi konsep kendiri kanak - kanak

ad+1

Secara umumnya, konsep kendiri dapat dipengaruhi oleh dua entiti iaitu baka dan persekitaran. Baka merupakan unsur yang paling dekat dengan diri kanak – kanak. Proses mempengaruhi ini telah lama bermula sejak kanak – kanak tersebut berada dalam kandungan ibunya lagi. Kajian mendapati bahawa tingkah laku dan sikap ibu mengandung akan mempengaruhi bahagian dalaman kanak – kanak tersebut. Sebagai contoh, jika seorang ibu yang mengandung sering mengalami tekanan dan tidak dapat mengawal emosinya yang menjuruskannya kepada seorang perengus dan pemarah, bayi yang dikandungnya
Persekitaran pula merujuk kepada unsur luar yang memberi kesan sama ada positif mahupun negatif kepada pembentukan konsep kendiri kanak – kanak. Entiti persekitaran kanak – kanak ini merangkumi individu yang rapat dengan mereka seperti keluarga dan rakan – rakan serta individu di luar kotak kehidupan mereka namun mampu memberi kesan kepada konsep kendiri kanak – kanak misalnya masyarakat, media massa dan dasar – dasar kerajaan. Hal ini selari dengan kenyataan yang diutarakan oleh Hurlock (1968) yang menyatakan, “guru, adik-beradik, ibu bapa dan rakan sebaya boleh mempengaruhi perkembangan konsep kendiri individu”.
Menurut Coopermith (1967), kanak – kanak yang memilik harga diri yang tinggi didapati lebih bebas dan kreatif serta lebih disenangi oleh rakan sebaya. Mereka dilihat sebagai asertif, lantang bercakap, lebih suka mengeluarkan pendapat dan mampu menerima kritikan berbanding mereka yang mempunyai harga diri yang rendah. Justeru itu, dapat dikatakan di sini bahawa konsep kendiri kanak – kanak akan meningkat dan mereka akan mempunyai harga diri jika tingkah laku atau perasaan mereka tekal dengan standard yang ditetapkan oleh ibu bapa, rakan dan masyarakat. Sebaliknya, mereka akan hilang harga diri jika mereka bertingkah laku dengan tidak memenuhi standard ibu bapa, rakan dan masyarakat.
Ibu bapa merupakan individu yang menghabiskan paling banyak masa bersama kanak – kanak sebelum kanak – kanak tersebut memasuki alam persekolahan. Justeru itu, dapat dilihat di sini bahawa ibu bapalah yang akan mencorakkan konsep kendiri kanak – kanak. Jika ibu bapa tersalah langkah, maka kesan yang negatif akan dapat dilihat apabila mereka meningkat remaja dan seterusnya. Amla et al (2010) dalam kajian yang bertajuk Peranan Bapa dalam Pembangunan Sahsiah Remaja dan Implikasinya terhadap Nilai Kekeluargaan mendapati bahawa penglibatan bapa dalam pembangunan sahsiah remaja adalah baik. Bapa amat bertanggungjawab dari segi menyediakan kemudahan fizikal serta sokongan kepada ibu.
Culp et al (2000) pula menyatakan bahawa, “Terdapat bukti yang menunjukkan penglibatan bapa yang tinggi dalam asuhan meningkatkan perasaan penerimaan, dan hubungan yang positif antara bapa dengan anak berupaya mengurangkan tingkah laku antisosial dalam kalangan anak – anak. Namun begitu Spera (2006) memberikan nafas baharu kepada hujah ini, menurut Spera, sokongan ibu dan sokongan bapa dalam pembentukan sahsiah kanak – kanak adalah berbeza. Bukan itu sahaja, malah terdapat hubungan yang ketara antara pola sokongan bapa dengan tingkah laku remaja. Justeru itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa merupakan individu yang paling berpengaruh dalam membentuk konsep kendiri kanak – kanak.
Bagi membentuk konsep kendiri yang positif dalam diri kanak – kanak, ibu bapa seharusnya mengambil berat dan memberi perhatian sepenuhnya kepada kanak – kanak tersebut. Kasih sayang dan nilai menghormati kanak – kanak akan menyebabkan kanak – kanak akan jelas dengan ekspetasi yang diletakkan oleh ibu bapa terhadap kanak – kanak. Ibu bapa perlu menerangkan norma sosial masyarakat setempat sejak kanak – kanak itu sudah boleh bertutur lagi. Penjelasan juga perlu diberikan kepada mereka tentang akibat jika norma – norma sosial tersebut dilanggar.
Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak meletakkan standard pencapaian akademik yang terlalu tinggi. Cukuplah dengan bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh kanak – kanak tersebut. Ibu bapa juga perlu aktif dalam aspek sosial kanak – kanak. Pemantauan perlu dilakukan terhadap perkembangan kehidupan sosial kanak – kanak. Jika boleh, ibu bapa perlu memberi sokongan kepada kehidupan sosial kanak – kanak. Hal ini penting kerana sokongan ibu bapa ini akan membina keterampilan sosial dalam diri kanak – kanak sekali gus memberi pengaruh positif kepada pembinaan konsep kendiri kanak – kanak.
Setelah kanak – kanak memasuki alam persekolahan, mereka akan berkenalan dengan dua entiti baharu yang berkemungkinan besar memberi pengaruh kepada pembinaan konsep kendiri mereka. Pengaruh tersebut boleh jadi positif dan juga boleh jadi negatif. Kanak – kanak secara puratanya menghabiskan sekurang – kurangnya 6 jam sehari berkomunikasi dan berinteraksi dengan guru. Guru merupakan loco parentis atau pengganti guru ketika kanak – kanak berada di sekolah. Mereka dianggap sebagai pembimbing, orang yang dipercayai, pembentuk sikap serta role model kepada kanak – kanak.
Guru sebagai penggerak kepada kemajuan sekolah perlu mengamalkan sikap dan nilai positif dalam usaha mempengaruhi kanak – kanak dalam pembinaan konsep kendiri yang lebih positif. Guru seharusnya bersikap penyabar, murah hati, tenang serta mempunyai ilmu pengetahuan di samping menawarkan pengaplikasian nilai secara konsisten di hadapan kanak – kanak. Hal ini amat penting kerana kejayaan di sekolah bergantung atas guru. Guru dan sekolah merupakan institusi masyarakat yang penting dalam mempengaruhi tingkah laku kanak – kanak (Bachman & O’Malley, 1977).
Harter & Connel (1982) pula mempunyai pendapat yang sama dengan Bachman & O’Malley (1977). Menurut mereka, pencapaian di sekolah mempengaruhi keterampilan kanak – kanak yang seterusnya mempengaruhi motivasi untuk pencapaian kanak – kanak tersebut. Lebih tinggi pendapat kanak – kanak tentang kebolehan akademik mereka maka lebih kuat motivasi mereka untuk menghasilkan yang terbaik. Hal ini seterusnya mendorong kepada pembentukan konsep kendiri yang positif.
Selain ibu bapa dan guru, persekitaran luar seperti media massa juga memainkan peranan dalam pembentukan konsep kendiri kanak – kanak. Kanak – kanak amat tertarik dengan warna, bunyi dan pergerakan. Tidak hairanlah jika mereka lebih gemar duduk di hadapan kaca televisyen menonton kartun berbanding menolong ibu mereka mengemas rumah. Sifat mereka yang mudah menyerap menyebabkan mereka dengan mudah mempelajari apa yang dipaparkan di televisyen dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka. Justeru itu, ibu bapa serta ahli keluarga perlulah sentiasa mengawasi apa yang ditonton oleh kanak – kanak dalam usaha mengelakkan pembentukan konsep kendiri yang negatif dalam diri mereka.


0 comments:

Catat Ulasan

Flag Counter
Home About-us Privacy Policy Contact-us Services
Copyright © 2014 GobokGuru | All Rights Reserved. Design By Blogger Templates | Free Blogger Templates.