Home About-us Privacy Policy Contact-us Services

Jumaat, 16 Mac 2012

Guru Bahasa Melayu Memerlukan Pengetahuan Linguistik: Satu Perbincangan Kritis

ad+1

Ilmu linguistik merupakan tulang belakang kepada semua bahasa di dunia; termasuklah bahasa Melayu. Secara khususnya semua pendidik yang mengajar ilmu bahasa Melayu di sekolah – sekolah telah dibekalkan dengan ilmu linguistik di samping ilmu – ilmu lain. Seperti yang diketahui oleh ramai mahasiswa dan mahasiswi, ilmu dan teori yang diperolehi di menara gading sememangnya amat berbeza dengan realiti hidup sebenar. Namun begitu, hal ini seharusnya tidak menghalang mereka untuk meneruskan kerjaya mereka. Mereka perlu pandai menyesuaikan diri dan mengaplikasikan ilmu dan teori yang telah mereka perolehi dengan situasi sebenar semasa.
Seorang guru terutamanya guru bahasa Melayu memang telah dilengkapkan dengan pelbagai ilmu berkaitan bidang bahasa yang akan dan perlu digunakan oleh mereka ketika di sekolah nanti. Namun, apabila mereka sudah di tempatkan di sekolah dan ingin memulakan tugas mereka, mereka akan dapati bahawa banyak situasi dan keadaan yang tidak pernah mereka temukan dalam buku ketika belajar di menara gading dahulu. Mungkin mereka ditempatkan di sekolah Orang Asli yang mana murid – murid di sana tidak fasih berbahasa Melayu, di sekolah vernacular yang mana murid – muridnya tidak langsung pernah didedahkan dengan bahasa Melayu atau pun di sekolah – sekolah pedalaman yang mana muridnya bertutur dalam loghat daerah masing – masing seperti di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Sarawak. Situasi seperti ini tidak diterangkan dalam teori – teori pengajaran bahasa melayu namun guru perlu menyesuaikan teori – teori sedia ada untuk menyelesaikan masalah ini.
Hal dalam contoh di atas telah disokong oleh Naom Chomsky dalam Haliza & Samuel (2009) yang menyatakan bahawa, “kanak – kanak bukan hanya sekadar meniru bahasa – bahasa yang digunakan di sekitar mereka tetapi mereka membuat deduksi secara tidak sedar tentang peraturan – peraturan bahasa yang didengar”. Jelas di sini bahawa murid di sesuatu sekolah telah dilengkapkan dengan kemahiran berbahasa yang mereka pelajari di sekitar mereka. Mereka juga mendeduksi sistem bahasa tersebut. Sebagai contoh, sebuah sekolah yang terletak di Kubang Golok, Kelantan, murid – murid tahun satu di situ tidak masih langsung untuk menuturkan bahasa Melayu yang standard kerana mereka membesar dalam lingkungan masyarakat yang menggunakan dialek Kelantan untuk berkomunikasi. Justeru itu, mereka akan meniru bahasa dan peraturan – peraturan bahasa tersebut untuk berkomunikasi bagi memenuhi keperluan diri mereka.
Namun begitu dalam konteks pendidikan, seorang guru bahasa Melayu perlu pandai dan bijak menyesuaikan kaedah dan teknik yang akan dan sedang digunakan untuk mengajar murid tentang bahasa Melayu. Hal ini kerana, kurikulum bahasa Melayu yang telah digubal oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia telah didatangkan secara pakej iaitu bahasa serta peraturan – peraturan bahasa. Secara ilmiahnya, bahasa dan peraturan bahasa ini didefinisikan sebagai penggunaan bahasa, kemahiran bahasa dan sistem bahasa (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003). Bahasa dan peraturan ini secara amnya selari dengan amalan harian bahasa Melayu di sesetengah tempat di Malaysia namun bagi sesetengah tempat yang lain, ianya adalah berbeza. Sebagai contoh, di sebuah pekan  kecil di Kemaman, murid – murid di situ rata – ratanya menggunakan dialek Terengganu untuk bertutur dan berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling. Dialek ini mempunyai sistem bahasa yang sama dengan bahasa Melayu standard namun kosa kata atau perbendaharaan kata yang dipunyai keduanya adalah berbeza.
Justeru itu, seorang guru bahasa Melayu seharusnya mempunyai ilmu linguistik bahasa Melayu yang komprehensif dan lengkap agar dapat memenuhi keperluan pasaran yang menuntut kepada semua murid dan pelajar di Malaysia untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996. Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (2002), linguistik bermaksud ilmu bahasa. Kamus Dewan Edisi Keempat pula mendefinisikan linguistik sebagai kajian saintifik tentang bahasa. Struktur dan system lebih tepat digunakan dalam linguistik adalah penerapan semua elemen bahasa iaitu fonetik, morfologi dan sintaksis.
David Crystal (1973) dalam Din Senu (2013) menjelaskan linguistik sebagai kajian bahasa secara saintifik. Hal ini bermakna bahawa bahasa – bahasa yang dikaji mesti dilihat sebagai satu disiplin ilmu yang tersusun serta mempunyai organisasi tersendiri. Selain hal itu, saintifik juga merujuk kepada sesuatu ilmu yang mempunyai cirri kesahan dan kebolehpercayaan dari segi mutu dan kesahihan fakta. Pandangan David ini disokong oleh John Lyons (1968:89). Menurut beliau, linguistik adalah “The scientific study of language”.  Verhaar (1993) pula menjelaskan linguistik sebagai satu kajian ilmu bahasa. Hal ini merujuk kepada bagaimana suatu kajian bahasa itu dilaksanakan. Berdasarkan pandangan tersebut, kajian ilmu bahasa mencakupi bidang ilmu yang sangat luas.
Ianya merangkumi bidang linguistik secara khusus; iaitu linguistik sinkronik, linguistic diakronik, linguistik deskriptif dan linguistic preskriptif. Linguistic sinkronik merujuk kepada kajian pada suatu bahasa dan masa tertentu. Linguistik diakronik pula merujuk kepada kajian yang dibuat mengikut perkembangan masa dan perbandingan bahasa. Linguistik deskriptif pula menumpu kepada huraian beberapa kemungkinan yang ada di dalam sesuatu bahasa, tanpa penentuan betul dan salah. Linguistik preskriptif membentuk norma atau menentukan yang mana betul dan yang mana salah di dalam pemerian bahasa. Bidang linguistik ini juga termasuklah linguistic jati yang member huraian atau deskripsi tenatng sesuatu bahasa tanpa perkaitannya dengan bidang lain dan linguistic terapan, iaitu mengkaji segala bidang linguisitk yang dikaitkan dengan bidang lain (Wikipedia, 2013).
Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM (2003), komponen sistem bahasa berfokus pada pengajaran dan pembelajaran yang tertumpu kepada tatabahasa, ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata dan peribahasa. Bahagian tatabahasa pula terbahagi kepada morfologi dan sintaksis. Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk kata, dan golongan kata manakala sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003).
Jelas di sini, pihak penggubal kurikulum telah menyediakan satu konstituen ilmu bahasa Melayu yang amat lengkap dan telah pun didokumenkan untuk kegunaan guru – guru seperti Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran bagi KBSM dan Standard Kurikulum bagi KSSR. Namun, seperti yang telah dibincangkan di atas bahawa, di sesetengah kawasan di Malaysia murid mempunyai pengetahuan yang bahasa yang berbeza dan ada yang sama dengan kurikulum bahasa Melayu sedia ada, justeru itu, guru perlu mengaplikasikan ilmu linguistik yang dipunyai oleh mereka mengikut kesesuaian dan arus perdana semasa.
Namun begitu, persoalan seterusnya yang timbul di sini ialah adakah seorang guru bahasa Melayu itu memerlukan pengetahuan berkenaan linguistik untuk mengajar subjek ini? Terdapat tujuh billion manusia pada hari ini di seluruh dunia dan 27 juta daripadanya terdapat di Malaysia (Jabatan Perangkaan Negara, 2006) dan daripada jumlah tersebut berpuluh ribu individu merupakan seorang guru. Dalam jumlah guru tersebut, satu per sepuluh daripadanya merupakan guru bahasa Melayu bagi sekolah rendah dan menengah. Makanya, masing – masing sudah tentu mempunyai pandangan masing – masing. Penulis telah menemu bual dua orang guru dari empat dua buah sekolah berbeza untuk menanyakan pendapat mengenai persoalan ini. Mereka dengan berbesar hati telah memberikan curhat dan pendapat mereka mengenai persoalan ini.
Guru X yang sedang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pulai, Johor Bahru telah memberikan pandangannya. Menurut beliau, “Hal ini tergantung kepada sekolah apa dan di mana seorang guru bahasa Melayu itu mengajar. Bagi saya, jika di sekolah rendah, ilmu linguistik tidak banyak diguna pakai kerana linguistik memerlukan pemahaman mengenai bahasa. Namun jika di sekolah menengah, ilmu linguistik itu amat diperlukan untuk membantu para pelajar menguasai bahasa Melayu”. Pada pendapat Guru X, ilmu linguistik memainkan peranan yang amat besar jika guru itu mengajar di sekolah menengah namun tidak jika di sekolah rendah. Hal ini kerana di sekolah rendah, pendekatan yang digunakan dalam pengajaran ilmu linguistik seperti sistem bahasa ialah pendekatan tematik yang bersifat induktif ataupun deduktif. Namun begitu, jika dirujuk kepada sukatan kurikulum, bahasa Melayu sekolah menengah juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu pendekatan tematik. Menurut Guru X, pengaplikasian pendekatan ini bergantung kepada guru berkenaan sama ada mahu mengaplikasikan pendekatan tematik tersebut atau tidak mengikut keperluan murid dan pelajar.
Menurut Noriati et al (2009), pendekatan tematik bermaksud pengajaran menggunakan tema yang disampaikan melalui konsep atau idea yang besar . Satu – satu tema itu dipecahkan kepada beberapa komponen kecil. Pendekatan secara tema akan membolehkan pelajar menganalisis, membuat generalisasi dan mengaplikasikan penggabungan.  Penggabungan pelbagai idea yang berkaitan kepada satu konsep yang lebih meluas atau tema membolehkan pelajar menyatukan pelbagai fakta. Secara keseluruhannya, pendekatan tematik akan memberikan peluang kepada pelajar mengalami pelbagai pengalaman dalam situasi yang berlainan.
Menurut Guru X, pada kebiasaannya guru – guru bahasa Melayu di sekolah rendah kurang mengaplikasikan pengetahuan linguistik mereka kerana model sosial, model pengajaran behaviorisme dan model personal melalui strategi pengajaran mediatif, kontekstual dan melalui pemerhatian lebih diguna pakai dalam kalangan murid – murid. Hal ini disokong oleh Noriati et. al (2009) kerana model - model ini lebih menarik untuk diaplikasikan pada murid – murid yang rata – rata usianya dalam lingkungan 7 hingga 12 tahun.  Menurut Haliza & Samuel (2009), pada peringkat lingkungan usia ini, perkembangan kemahiran berbahasa murid – murid adalah lebih tertumpu kepada kemahiran menulis dan membaca dengan menggunakan gaya bahasa yang betul. Ini bermaksud, pada lingkungan usia ini, murid – murid lebih gemar untuk mempelajari kemahiran – kemahiran berbahasa seperti menulis dan membaca berbanding sistem bahasa yang dilihat agak kompleks dan terlalu sukar. Justeru, guru – guru bahasa Melayu kurang mengaplikasikan pengetahuan linguistik mereka ketika di dalam kelas.
Namun begitu, kurikulum yang telah dirangka untuk sekolah rendah sama ada KBSR atau KSSR mengandungi pengajaran sistem bahasa yang terarah kepada tatabahasa. Makanya, guru – guru bahasa Melayu akan cuba menggunakan pendekatan deduktif kepada murid – murid sekolah rendah. Mereka akan menggunakan gabungan pendekatan tematik dengan pendekatan deduktif. Huraiannya, para guru akan menggunakan tema – tema yang telah disusun dan disediakan dalam kurikulum untuk menyampaikan isi mengenai tatabahasa. Sebagai contoh, seorang guru ingin mengajar tentang kata ganda. Jika guru tersebut terus menerangkan mengenai kata ganda pada murid – murid dan memberikan contoh, sudah pasti murid – murid akan merasakan bahawa subjek ini sukar. Justeru, melalui gabungan pendekatan tematik dan deduktif, guru tersebut akan menayangkan sebuah video dan setiap murid diberikan skrip berkenaan video tersebut. Skrip tersebut perlulah menarik dilengkapi dengan gambar – gambar. Guru akan meminta wakil murid untuk melakon semula adegan dalam video tersebut dengan bantuan skrip. Kemudian, guru akan meminta murid mengenal pasti perkataan yang mempunyai tanda sempang ( - ). Akhirnya, guru menerangkan tentang perkataan yang mempunyai tanda sempang tersebut sebagai kata ganda dan menerangkan dengan contoh – contoh dalam video mengenai kata ganda. Dengan penggunaan video dan skrip, proses pembelajaran bukan sahaja menarik malah murid telah mempelajari mengenai tatabahasa dan guru sudah pun mengaplikasikan pengetahuan linguistiknya.
Menurut Guru X, hal yang berbeza berlaku di sekolah menengah yang mana pendekatan tematik ini kurang diguna pakai. Para pelajar akan cepat berasa bosan dan mereka akan merasakan bahawa pendekatan yang digunakan oleh guru bahasa Melayu tersebut sebagai sangat kebudak-budakkan atau kids oriented. Pelajar sekolah menengah lebih cenderung kepada pendekatan induktif yang mana guru bahasa Melayu akan menerangkan terlebih dahulu mengenai sesuatu hukum tatabahasa sebelum memberikan contoh – contoh yang berkaitan.
Pandangan kedua telah ditemukan daripada seorang guru yang sedang mengajar di SK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur. Guru Y ini merupakan seorang guru bahasa Melayu yang mengajar tahun 5. Penulis telah menemu bual Guru Y dan menanyakan pendapat dan komentar beliau mengenai isu ini. Menurut Guru Y, “Rasanya membantu jugalah sebab linguistik merupakan satu cabang utama untuk mengajar P&P. Daripada linguistiklah baru pecahan bahasa Melayu dikembangkan”.  Guru Y berpegang teguh kepada prinsip bahawa proses P&P bahasa Melayu hanya akan dapat dijalankan jika guru mempunyai pengetahuan mengenai linguistik. Linguistik merupakan tiang seri kepada bahasa Melayu.
Menurut Guru Y, setiap rancangan mengajar yang telah dirangka oleh guru seharusnya mempunyai unsur – unsur linguistik yang jelas. Hal ini kerana linguistiklah yang mendasari ilmu pembelajaran berkenaan bahasa Melayu. Justeru itu, setiap kali murid dan pelajar menghadiri kelas bahasa Melayu, mereka akan mempelajari ilmu linguistik bahasa Melayu secara komprehensif. Sebagai contoh, Guru Y mengatakan bahawa guru bahasa Melayu perlu menerapkan pembelajaran pertuturan bahasa Melayu dan nahu sebagai perlu kepada setiap murid dan pelajar. Hal ini disokong oleh ramai dalam kalangan ahli linguistik. Kebanyakan ahli linguistic seperti Ferdinand de Sasussure, Dell Hymes, George Lakoff, Leonard Talmy dan Ronald Langacker mengandaikan bahawa bahasa pertuturan adalah lebih asas dan oleh itu, adalah lebih penting daripada bahasa tulisan.
Alasan-alasan untuk sudut pandangan ini termasuk yang pertama pertuturan nampaknya merupakan sejagat manusia, manakala terdapat banyak budaya dan komuniti pertuturan yang tidak mempunyai sebarang komunikasi tulisan. Keduanya manusia belajar untuk bertutur dan memproses bahasa-bahasa pertuturan dengan lebih mudah dan lebih awal, berbanding dengan penulisan. Ketiganya sebilangan ahli sains kognitif memperdebatkan bahawa otak mempunyai "modul bahasa" yang semula jadi, dengan pengetahuan dianggap datangnya daripada mengkaji pertuturan lebih daripada mengkaji tulisan, khususnya kerana bahasa dalam bentuk pertuturan dianggap merupakan penyesuaian evolusi, manakala penulisan merupakan rekaan yang lebih terkini. Sudah tentu, ahli-ahli linguistik bersetuju bahawa kajian terhadap bahasa tulisan adalah berfaedah dan bernilai. Bagi penyelidikan linguistik yang menggunakan kaedah-kaedah linguistik korpus dan linguistik pengiraan, bahasa tulisan seringnya adalah lebih sesuai untuk memproses jumlah data linguistik yang besar. Korpus besar untuk bahasa pertuturan adalah susah untuk dicipta dan dicari, dan biasanya ditranskripsikan dan ditulis.Walau bagaimanapun, kajian tentang sistem-sistem tulisan pada dirinya telah dianggap sebagai satu cabang linguistik tersendiri.
Shaiful Bahri Selamat (2012) pula menjelaskan bahawa penguasaan dan pengetahuan nahu serta kemahiran berbahasa amat berguna untuk mengukuhkan pengetahuan pengguna bahasa tentang sususan ayat dan fungsi – fungsi perkataan. Dengan hal yang demikian, nahu boleh menjadi pedoman dalam perubahan besar kepada dunia linguistik Melayu dan perkembangan pendidikan negara.
Berdasarkan kepada pendapat kedua – dua guru yang telah ditemu bual itu tadi, dapat disimpulkan bahawa pengetahuan linguistik yang dipunyai oleh seorang guru bahasa Melayu amat berguna dan membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Hal yang mewujudkan kepada perbezaan pendapat mereka ialah lokaliti dan masa serta keperluan murid. Huraiannya, ilmu linguistik itu amat penting dan perlu diajarkan kepada murid dan pelajar namun ianya perlu mengikut keperluan murid dan pelajar. Sebagai contoh, jika murid sebuah kelas tahun 5 dari sebuah sekolah vernakular cina masih tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu, kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu lebih wajib diajar berbanding ilmu tatabahasa kerana mereka masih belum mampu untuk menuturkan bahasa Melayu dengan lancar. Jika mereka sudah lancar bertutur, maka barulah diajarkan kepada mereka ilmu berkenaan tatabahasa.
Adalah diharapkan agar ilmu berkenaan linguistik Melayu ini akan terus berkembang; bukan sahaja dalam kalangan para linguist dan golongan pendidik, malah dalam kalangan semua penutur bahasa Melayu sama ada bahasa Melayu sebagai bahasa pertama mereka ataupun sebagai bahasa kedua. Melalui usaha – usaha yang giat dijalankan oleh para linguist Melayu, adalah diharapkan agar pelbagai pihak sama ada dari pihak kerajaan mahupun swasta akan sama – sama bahu-membahu merealisasikan impian ini.
Jika guru - guru bahasa Melayu berupaya membimbing murid & pelajar untuk mengutamakan penggunaan bahasa Melayu berbanding bahasa - bahasa lain, sudah pasti status lingua franca bahasa Melayu pada suatu masa dahulu akan dapat dikembalikan.
Jika guru - guru bahasa Melayu berupaya membimbing murid & pelajar untuk mengutamakan penggunaan bahasa Melayu berbanding bahasa - bahasa lain, sudah pasti status lingua franca bahasa Melayu pada suatu masa dahulu akan dapat dikembalikan.

0 comments:

Catat Ulasan

Flag Counter
Home About-us Privacy Policy Contact-us Services
Copyright © 2014 GobokGuru | All Rights Reserved. Design By Blogger Templates | Free Blogger Templates.